Jerat jenayah rogol di laman sosial

Iklan
Berdasarkan siasatan terhadap mangsa, rata-rata memberitahu polis mereka mengenali pelaku melalui laman sosial. Foto hiasan

BARU-baru mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan kepada pendakwah selebriti, Da’i Syed kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Keputusan mahkamah itu membuktikan bahawa jenayah rogol itu sememangnya berlaku walaupun sebelum ini Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial.

Iklan
Iklan

Isu yang penulis mahu kupaskan di sini bukan mengenai Da’i Syed seorang, sebaliknya keseluruhan anggota masyarakat kita yang semakin parah dalam mengawal nafsu.

Jika dibuat carian di Google, boleh dilihat pelbagai berita mengenai kes rogol sama ada menerusi kenyataan polis atau kes mahkamah. Mengejutkan, ada pelakunya merupakan ahli keluarga terdekat, teman lelaki, malah melibatkan kenalan yang baru dikenali. Lebih membimbangkan, mangsanya ada yang terdiri daripada gadis di bawah umur.

Iklan

Sebelum itu pada 28 Ogos di Tawau, Sabah, polis menahan tiga lelaki termasuk remaja berumur 15 tahun kerana disyaki merogol remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos.

Kedua-dua kes ini menunjukkan betapa isu rogol melibatkan anak gadis kita semakin meruncing.

Iklan

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dalam laporan akhbar sebelum ini berkata, kes jenayah rogol membabitkan gadis bawah umur menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Ujar beliau, polis percaya kebanyakannya bermula daripada pengantunan melalui media sosial termasuk aplikasi sembang seperti WhatsApp. Berdasarkan siasatan terhadap mangsa, katanya, rata-rata memberitahu polis yang mereka mengenali pelaku melalui laman sosial.

Aplikasi seperti TikTok, Facebook dan Instagram menyediakan ruang untuk penggunanya saling berkomunikasi. Ini lebih memudahkan ‘si perogol’ mencari mangsanya terutama gadis bawah umur yang mudah terperdaya dengan ayat-ayat manis. Pada usia sebegini, mereka belum mampu menilai baik buruk sesuatu tindakan. Sebab itu ada yang sanggup lari dari rumah mengikut kekasih.

Justeru, mencegah adalah lebih baik. Keluarga terutama ibu bapa perlu mendekati anak gadis mereka dan menjadi sahabat baik supaya setiap perkara dapat dikongsikan kepada keluarga terlebih dahulu.

Penulis faham, mendidik anak-anak Generasi Z tidak semudah mendidik anak pada zaman tanpa media sosial. Namun, kita tiada pilihan, cara mendidik juga perlu selaras dengan perubahan zaman.

Selagi anak-anak gadis masih di bangku sekolah, pantau media sosial mereka supaya kita dapat tahu dengan siapa mereka berkawan dan berkomunikasi.

Ibu bapa juga perlu melarang anak gadis memuat naik gambar yang tidak sopan di media sosial kerana perbuatan seperti itu diibaratkan membuka pintu kepada jenayah seksual.

Melihat kes-kes rogol yang berlaku, ada juga melibatkan pelaku bawah umur, perhatian juga perlu diberikan kepada anak lelaki. Ajar mereka menghormati rakan wanita seperti menghormati ibu mereka sendiri. Beri pendedahan kepada mereka tentang adab berkomunikasi dengan kaum berlawanan jenis.

Dalam isu ini, penulis juga menasihatkan gadis-gadis di luar sana supaya berhati-hati dan tidak mudah termakan pujukan lelaki, terutama yang baru dikenali. Apatah lagi jika diajak keluar berdua pada waktu malam. Adalah lebih selamat keluar pada waktu siang dan membawa teman.

Kongsikan juga lokasi anda berada kepada ahli keluarga. Sekarang ini pun banyak aplikasi boleh digunakan untuk membantu mengesan lokasi semasa.

Hanya anda yang boleh selamatkan diri anda sendiri daripada menjadi mangsa.

* Roshila Murni Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Biro Kedah