Impak Khairul Aming mendunia

Iklan
Khairul Aming membuat demonstrasi memasak roti jala bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. Foto Awani

RAMAI mengenali tagline ‘Hey What’s up guys?’ Setiap kali menjelang Ramadan pasti pengguna media sosial akan tertunggu-tunggu resipi mudah serta lazat daripada pempengaruh, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman.

Siapa sangka daripada video memasak di lantai dan kini bukan hanya rakyat Malaysia sahaja yang mengenali beliau, malah namanya kini telah dikenali sehingga ke luar negara.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia telah bertemu dengan Khairul Aming selepas melihat rancangan memasak pemuda tersebut.

Ia susulan video memasak yang dirakamkan oleh Khairul Aming di New Zealand telah menarik perhatian pemimpin dari negara Kiwi itu untuk mencuba makanan Malaysia.

Iklan

Luxon berada di Malaysia pada 1 hingga 3 September 2024 dan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini selepas mengambil alih pentadbiran New Zealand pada November 2023.

Lebih manis lagi, pertemuan itu dimanfaatkan oleh pempengaruh bidang masakan itu untuk memperkenalkan sajian ikonik sarapan Malaysia seperti nasi lemak, roti jala dan teh tarik yang turut disertai dengan sesi memasak roti jala bersama pemimpin New Zealand itu.

Iklan

Hasil pertemuan tersebut, rata-rata pengguna media sosial memuji kredibiliti Khairul Aming yang perlu dijadikan contoh kepada anak muda di negara ini.

Tanggungjawab sebagai pembuat kandungan digital bukan hanya memikirkan mengenai konten yang membawa keuntungan semata-mata, tetapi perlu mempunyai ilmu pengetahuan bagi menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Sesetengah pempengaruh lebih suka mencipta kontroversi sehingga ia menjadi ikutan generasi muda.

Selain mencipta kontroversi, mereka juga berhibur tanpa ada batas adab, adat dan agama sehingga kandungan media sosial yang dimuat naik mencanak tinggi sehingga ada sesetengah masyarakat mengidolakan pempengaruh tersebut.

Penulis tidak menafikan bahawa sumber rezeki di media sosial sangat menguntungkan malah ada yang sudah bergelar jutawan dengan membuat kandungan digital sahaja, namun jika ia tidak disusuli dengan ilmu pengetahuan, kita akan melahirkan generasi lagha.

Pendidikan memainkan peranan utama lebih-lebih lagi pempengaruh media sosial memerlukan mereka berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dengan pantas, beradab dan mempunyai logik akal dalam membuat sesuatu perkara.

Proses untuk menjadi seorang pempengaruh bukan mudah, malah ia merupakan perjalanan yang panjang untuk mencapai ke puncak kejayaan.

Bagi mereka yang mahu menjadi pempengaruh, jadilah insan yang mampu menabur ilmu di media sosial dan tidak hanya mengejar populariti sehingga memberi impak negatif dalam kehidupan.