[VIDEO] Tiga doktor antara 33 individu direman kes kartel tipu tuntutan PERKESO

Iklan

GEORGE TOWN -Tiga doktor pakar tulang bersama 30 individu direman antara sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan kartel kes memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan jumlah RM2.1 juta.

Tiga doktor bersama 30 individu yang berpakaian lokap diiringi dan dikawal ketat oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada pagi Rabu.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Kesemua mereka yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kompleks Mahkamah Georgetown pada jam 9 pagi.

Menurut sumber SPRM, selain tiga doktor tersebut, mereka yang direman adalah 19 pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga 'runner'.

Iklan

Kata sumber lagi, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.

"Doktor yang terlibat merupakan doktor pakar tulang dari dua hospital kerajaan dan sebuah hospital swasta di Seberang Jaya. Kesemua doktor berkenaan berusia 36, 50 dan 57 tahun.

Iklan

"Kesemua 33 orang yang direman ditangkap dalam operasi yang dijalankan bermula jam 5 pagi hingga 9 malam, Selasa. Mereka kemudiannya ditahan selepas diambil keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Menurutnya lagi, modus operandi kartel tersebut adalah dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).

"Pemohon yang mendapat wang tuntutan akan mengambil 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan dibahagikan kepada doktor, ejen dan 'runner'.

"Selalunya doktor akan memperoleh imbuhan RM10,000 untuk satu tuntutan, namun bergantung kepada jumlah tuntutan," katanya.

Sumber menambah, kartel berkenaan bergiat aktif sejak 2017 hingga tahun ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Kemungkinan akan ada lagi tangkapan membabitkan kartel tuntutan Perkeso serta dokumen palsu dengan bantuan doktor yang bersekongkol," katanya.

Julai lalu, Senator Dr RA Lingeshwaran menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan bahawa beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso digantung, yang dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan sedemikian.

Beliau memberitahu Dewan Negara bahawa panel itu digantung sehingga diberitahu kelak selepas Perkeso mendapat tahu tentang kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang.

Lingeshwaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap berkata, difahamkan kartel itu sedang melobi supaya doktor yang digantung itu kembali bertugas di hospital sama.

Beliau mengingatkan Dewan bahawa terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 melibatkan kira-kira RM43 juta, yang mana 16 melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas terbongkar.

Ringkasan berita:

  • Doktor Direman: Tiga doktor dan 30 individu direman dalam kes tuntutan palsu Perkeso melibatkan RM2.1 juta.
  • Tangkapan: 33 individu berusia 26-60 tahun ditangkap dalam operasi SPRM.
  • Modus Operandi: Kartel memalsukan tuntutan kecederaan, doktor mendapat RM10,000 per tuntutan.
  • Aktiviti Kartel: Kartel aktif sejak 2017, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
  • Penggantungan: Beberapa doktor digantung tugas, kartel melobi untuk mereka kembali bekerja.
Dijana oleh AI