KUANTAN - Seorang pengurus syarikat swasta kerugian RM108,750 selepas menyerahkan maklumat perbankan miliknya kepada individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yayaha Othman berkata, lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mangsa terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.
Menurutnya, panggilan telefon tersebut kemudian disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
"Suspek memaklumkan akan membantu mangsa dengan membersihkan wang dalam akaun simpanan melalui bantuan pihak Bank Negara Malaysia.
"Mangsa seterusnya memberikan maklumat perbankan miliknya kepada suspek bagi tujuan siasatan," katanya pada Rabu.
Yahaya berkata, mangsa menyedari ditipu setelah melihat wang dalam akaun bank miliknya berkurang dan mendapati 16 transasksi dilakukan tanpa pengetahuannya sehingga mengalami kerugian.
Katanya, sumber wang kerugian adalah wang simpanan dan mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Dalam pada itu, Yayaha menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali.
"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan," katanya.