KUALA PILAH - Kerja-kerja penyelenggaraan sistem pembentung dan jalan akan dilaksanakan di laluan Kampung Batu (Rembau)-Inas di sini susulan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat sebelum ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah menerusi kenyataan yang dikongsi di laman Facebooknya memaklumkan, berikutan itu laluan berkenaan ditutup untuk semua jenis kenderaan selama dua hari bermula Rabu.
Iklan
Iklan
"Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif jalan Seremban-Tampin (FT001) dan Tampin-Kuala Pilah (FT009) bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, pengguna jalan raya dan penduduk yang melalui jalan berdekatan Kampung Seginyeh, Jalan Inas dekat sini bimbang apabila tebing terhakis sudah menghampiri jalan susulan runtuhan akibat hujan lebat.
Laluan berkenaan merupakan jalan utama Kampung Batu (Rembau)-Inas (Kuala Pilah) dan bilangan trafik yang melaluinya mencatat ratusan kenderaan setiap hari.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman telah turun padang pada hari kejadian selain tindakan awal pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah meletakkan pengadang keselamatan dan tanda amaran di lokasi.