SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Lebuhraya Baru Pantai (E10 NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (E9 BESRAYA) akan ditutup sementara dari 12.01 tengah malam sehingga 11 pagi pada Ahad ini.
Penutupan sementara itu bagi memberi laluan kepada acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 yang bakal disertai lebih 10,000 pelari sempena edisi keenam cabaran acara larian itu.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi kedua-dua lebuh raya Wan Salwani Wan Yusoff dalam satu kenyataan berkata, penutupan di NPE melibatkan kedua-dua arah KM 1.8 dari Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) ke KM 11 ke arah Bangsar serta dari Kuchai Lama Entrepreneurs Park ke Plaza Tol Pantai Dalam di kedua-dua arah.
Jelasnya, penutupan di BESRAYA pula melibatkan laluan Persimpangan Bertingkat Kuchai Lama sehingga ke Jalan Pandan 1 di KM 21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kedua-dua arah.
Wan Salwani berkata, penganjuran acara itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selain persediaan rapi dilaksanakan NPE, BESRAYA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan pengguna jalan raya akan dilencongkan ke laluan alternatif.
"Beberapa laluan alternatif telah dirancang sebagai lencongan kepada lalu lintas bagi memudahkan mobiliti masyarakat setempat berikutan penutupan jalan di sepanjang kedua-dua lebuh raya," ujarnya.
Acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge adalah cabaran lebuh raya duo pertama Malaysia, menawarkan larian di dua jajaran lebuh raya iaitu NPE dan BESRAYA.
Ujarnya, Kumpulan IJM amat teruja dengan panganjuran acara larian ini buat kali keenam di mana larian NPE dan BESRAYA akan digabungkan menjadi satu acara tidak seperti edisi-edisi sebelum ini yang diadakan secara berasingan pada hari yang berbeza.
"Para pelari berpeluang menikmati pemandangan lebuh raya sambil meneruskan perlumbaan ke garisan penamat, memberikan mereka pengalaman yang unik.
"Kesemua peserta, penyokong dan penonton dinasihatkan untuk merancang serta tiba ke lokasi dengan lebih awal pada hari acara tersebut," ujarnya.
Maklumat berkenaan acara larian tersebut boleh didapati dpautan https://www.facebook.com/limAllianzDHCR
"Pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan keselamatan jalan raya sepanjang tempoh penutupan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menambah, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat NPE di 1-300-88-1010 dan BESRAYA di 1-800-88-0999 untuk sebarang maklumat dan bantuan.
New Pantai Expressway Sdn Bhd dan Besraya (M) Sdn Bhd ialah anak syarikat IJM Corporation Berhad.
Larian edisi keenam itu membabitkan lebih 10,000 peserta, mempertandingkan larian 21 kilometer (km) separuh maraton, 10km, 5km, dan 1.5km yang baru diperkenalkan untuk pelari muda selain menampilkan kategori marathon penuh iaitu 42.195km.
Lebuhraya Baru Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) antara jalan utama yang akan ditutup sempena larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, semasa acara larian berlangsung, petugas trafik NPE dan Besraya akan membuat rondaan serta memantau kawasan yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terkawal.
Hussein berkata, beberapa laluan akan ditutup antaranya pintu gerbang Sunway, persiaran Taman Medan, Kilometer 18.1 (susur Plaza Tol PSJ 2) dan Kilometer 18.4 (susur Dato Harun) arah Subang.
Beliau berkata, kesemua kategori perlumbaan akan bermula dan berakhir di kawasan berhadapan Sunway Pyramid.
"Peserta akan berlari ke arah Templer dan Kuchai Lama sebelum kembali semula ke Sunway.
"Bagaimanapun, hanya peserta dalam kategori maraton penuh sahaja akan berlari di sepanjang kedua-dua lebuh raya berkenaan," katanya.
Hussein berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui laluan- laluan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelakan kesesakan lalu lintas.
"Pengguna jalan raya perlu mengikuti arahan petugas polis trafik yang bertugas di lokasi," ujarnya.