KUBANG PASU - Seorang lelaki maut sementara tiga lagi cedera selepas lori jenis Hino yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 33.1 susur keluar Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.36 pagi.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan daripada talian MERS 999 berhubung kemalangan jalan raya di lokasi kejadian.
"Sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazril Ab Rahman bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setiba di lokasi, didapati kemalangan itu membabitkan lori yang dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
"Empat mangsa berada dalam kenderaan itu yang mana seorang daripadanya tersepit manakala tiga lagi termasuk seorang daripadanya warga asing selamat.
"Tindakan operasi adalah dengan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan anggota mengalami kesukaran untuk mengeluarkan semua mangsa disebabkan ruangan sempit dan berair," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini. - Awani