KUALA LUMPUR - Seramai 37 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia terlibat dalam arahan pertukaran berkuatkuasa 2 Mac, antaranya Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din yang dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan berkata, jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak akan diisi oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dengan memangku pangkat Komisioner.
Iklan
Iklan
Tempat Aidi pula akan diambil alih oleh Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik manakala tempatnya pula akan diisi oleh Timbalan Pengarah III, Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Datuk Abd Razak Elias dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Selain itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin akan menjadi Timbalan Pengarah JSJK yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner.
Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad pula akan memangku pangkat Komisioner dengan menjawat Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Selain itu, Senior Asisten Komisioner Kepolisan Am, JKDNKA Bukit Aman, Datuk Idris Abdullah akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dengan memegang pangkat Deputi Komisioner.
Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid akan mengisi jawatan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan JSJ Bukit Aman. - Bernama