SOP tuntutan faedah PERKESO dirombak serta-merta

Iklan
Steven ketika sidang akhbar di Menara PERKESO pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tuntutan faedah termasuk Hilang Upaya Kekal (HUK) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan dirombak serta-merta bagi membendung penyelewengan tuntutan palsu berulang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ia susulan kes penahanan 32 individu termasuk tiga doktor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Tunjang bersama agensi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya telah mengarahkan PERKESO mengambil langkah proaktif untuk merombak semula proses tuntutan bagi mengelak tuntutan palsu berulang di masa hadapan.

"Kita akan melihat kepada proses membuat tuntutan, semak imbang dan sebagainya. Ia akan di kaji semula serta dirombak untuk meletakkan mekanisme elak tuntutan palsu," katanya dalam sidang akhbar khas di Menara PERKESO di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini SPRM menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan penahanan itu memaklumkan, mereka yang ditahan ialah dua pegawai perubatan kanan hospital kerajaan dan seorang doktor pakar hospital swasta.

Iklan

Dalam pada itu Steven memaklumkan, Op Tunjang akan diteruskan dengan kerjasama SPRM dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, PERKESO melalui siasatan dalaman oleh Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti (ARFI) juga telah membongkar kewujudan rangkaian kartel penipuan tuntutan palsu faedah HUK sejak beberapa tahun lalu.

"Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO tidak akan berkompromi serta bertekad untuk memerangi kegiatan kartel kerana peruntukan faedah perlindungan sosial itu sepatutnya disalurkan kepada pencarum dan waris memerlukan.