MELAKA - Syarikat kitar semula buangan terjadual didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas kesalahan gagal membuat permohonan bertulis berhubung pemasangan peralatan pembakaran dan kawalan pencemaran udara kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas Orang Kena Saman, Wista Sehati Trading (M) Sdn Bhd yang beralamat di Bukit Rambai dan diwakili pengarah syarikat itu, Ahmad Humaizi Mahat, 46, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap syarikat berkenaan.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa gagal mematuhi tiga syarat laporan Penilaian Impak Alam Sekitar iaitu gagal memperoleh terlebih dahulu kebenaran bertulis sebelum pembinaan premis dan pemasangan peralatan serta gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis sebelum atau selepas pemasangan alat pembakaran dan alat kawalan pencemaran udara.
Malah syarikat itu juga gagal mendapatkan lesen sebelum premis berkenaan diduduki dan memulakan beroperasi.
Semua perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10.38 pagi hingga 1.30 tengah hari di premis Wista Sehati Trading (M) Sdn Bhd, Lot 64, 65 dan sebahagian lot 1629 di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini pada 24 Januari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta yang sama dan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori tidak lebih lima tahun serta denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM1juta, sabit kesalahan.
Namun OKS melakukan kesalahan sebelum pindaan akta pada 7 Julai 2024 yang mana memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan di premis OKS mendapati peralatan pembakaran bahan api dan alat kawalan pencemaran udara seperti penapis beg, scrubber dan heat exchanger telah siap dipasang tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS Melaka.
Pegawai Pendakwa JAS Melaka, Elbyta Rozana Mohd Hatta mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS.
Bagaimanapun Ahmad Humaizi merayu dikenakan denda rendah kerana pendapatan syarikat terjejas apabila tidak dapat beroperasi ketika pandemik.
"Syarikat juga mengeluarkan kos sebanyak RM1.6 juta bagi mematuhi syarat yang ditetapkan JAS," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM20,000, OKS membayar denda tersebut.