MADA beri jaminan bekalan air cukup, tak jejas penanaman padi

Iklan
Ismail (dua dari kiri) dan Kamaruddin (dua dari kanan) menunjukkan jadual penanaman padi musim 2/2024.

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan air pengairan mencukupi dan tidak menjejaskan aktiviti penanaman padi pada musim 2/2024.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, status keseluruhan kedudukan semasa takungan air di tiga empangan di bawah seliaan MADA adalah sebanyak 40.93 peratus setakat Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak bersamaan 35.82 peratus, manakala Empangan Muda sebanyak 9.16 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 78.82 peratus.

"Sehubungan itu, status terkini kedudukan takungan semasa ketiga-tiga empangan adalah mencukupi bagi keperluan musim 2/2024.

Iklan

"Simulasi takungan air di Empangan Pedu mengambil kira turunan hujan purata tahunan di Kawasan Muda dan didapati jangkaan paras takungan Empangan Pedu pada permulaan musim 2/2024 adalah 46 peratus," katanya.

Ismail berkata sedemikian pada sidang media di MADA Rice Training Centre (MRTC),Jalan Langgar di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama,Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Ismail menambah, sumber bekalan sokongan daripada pelepasan empangan adalah mencukupi sehingga akhir Musim 2/2024.

Sehubungan itu, kata beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) telah memutuskan Jadual Penanaman Padi bagi Musim 2/2024 akan bermula pada penghujung September 2024.

"Bagi Fasa pertama, tarikh mula menabur adalah pada 25 September 2024, Fasa kedua pada 5 Oktober 2024 dan Fasa ketiga pada 15 Oktober 2024," katanya.

Ismail berkata, MADA berharap peladang-peladang dalam kawasan MADA dapat mematuhi Jadual Penanaman Padi Musim 2/2024 yang ditetapkan dan memastikan pematuhan jadual ini ditingkatkan.

Beliau memaklumkan, MADA turut menyeru peladang untuk memanfaatkan turunan hujan bagi permulaan aktiviti tanaman padi Musim 2/2024.

"Peladang juga diharap dapat mengelakkan pembaziran dengan menguruskan air ke sawah secara berhemah serta menggunakan sepenuhnya turunan hujan di dataran sebagai sumber utama pengairan sawah padi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan, status kemajuan aktiviti penanaman padi musim 1/2024 sehingga 28 Ogos 2024 telah mencapai 11.5 peratus kawasan padi masak dan aktiviti tuaian telah mencapai 1.5 peratus.

Beliau memaklumkan, MADA turut mendapati tahap pematuhan jadual penanaman padi bagi Musim 1/2024 telah mencapai 73.6 peratus berbanding Musim 1/2023 iaitu 28.3 peratus.

Menurut Ismail, pihaknya mendapati penetapan jadual penanaman padi yang bersesuaian dengan keadaan semasa, ketersediaan benih padi sah yang mencukupi di dalam pasaran dan pelaksanaan Program Pemulihan Tanah Jerlus menyumbang kepada peningkatan pematuhan jadual itu.

"Antara faktor lain, termasuklah keberkesanan aktiviti pengembangan serta sumber bekalan air pengairan daripada turunan hujan pada bulan Mei dan Jun telah membantu aktiviti pratepuan untuk penyediaan tanah aktiviti tanam," katanya.