40 basikal berhias murid SK Jeram kelilingi kampung

Iklan
Laungan kemerdekaan oleh peserta Program Sambutan Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia di Kampung Jeram, Pasir Puteh.

PASIR PUTEH - Seramai 40 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di sini, menzahirkan semangat patriotisme terhadap negara dengan menghias basikal masing-masing menggunakan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia tahun ini.

Guru Besar SK Jeram, Nor Azman Ahmad berkata, penganjuran julung kali itu turut mendapat penglibatan daripada komuniti setempat dan jemaah dari Surau Madrasah Haji Zakaria.

Iklan
Iklan
Nor Azman

Menurut beliau, selain 40 basikal, 10 motosikal roda tiga juga dihias dengan Jalur Gemilang turut menyertai perarakan dan kayuhan sejauh 10 kilometer mengelilingi Kampung Jeram bermula pada jam 8.30 pagi.

"Kami menerima sambutan di luar jangkaan menerusi kehadiran kira-kira 300 peserta terdiri penduduk setempat dan warga SK Jeram serta 40 murid Darjah Empat, Lima dan Enam yang menghiasi basikal masing-masing dengan Jalur Gemilang.

Iklan

"Peserta kayuhan dan guru-guru turut dihidangkan dengan jamuan makan berserta pulut semangat dengan 67 telur rebus oleh pihak surau,” katanya kepada pemberita pada Program Sambutan Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia di Kampung Jeram di sini pada Rabu.

Muhammad Qayyum (kanan), Muhammad Adam (kiri) dan Muhammad Zakuan (tengah) bersama basikal berhias masing-masing.

Nor Azman berkata, pihaknya turut menyediakan 10 hadiah untuk basikal berhias paling menarik.

Iklan

Tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Qayyum Abu Hanifah, 11, Muhammad Adam Firas Rozmi, 10, (kedua) dan Muhammad Zakuan Aminuddin, 11, (ketiga).

"Dalam memeriahkan lagi sambutan, pihak surau juga mengadakan permainan sukan rakyat yang disertai oleh guru pengiring aktiviti kayuhan.

Murid SK Jeram yang menghias basikal dengan Jalur Gemilang.

"Berdasarkan sambutan yang amat meriah ini, kami berhasrat untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan di SK Jeram,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Qayyum ketika ditemubual berkata, mengambil masa tiga hari dengan membelanjakan kos berjumlah RM300 untuk menyiapkan basikal berhias miliknya dan dibantu ibunya, Norazliha Mat Jusoh, 38.

Katanya, semangat patriotik dalam dirinya berkobar-kobar pada setiap tahun dan dipamerkan melalui menghias basikal menggunakan bendera Malaysia, bunga raya dan mainan.

Bapanya, Abu Hanifah Ramli, 44, baharu bersara dalam perkhidmatan bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).