Dua lelaki didakwa tipu jual emas palsu

Iklan
Gambar hiasan 123RF
BUTTERWORTH - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang individu berhubung jual beli emas palsu melibatkan kerugian RM32,000.

Teh Yong Yang, 33, dan Ooi Kar Hon, 42, didakwa menipu seorang lelaki berumur 64 tahun dengan memperdaya untuk mempercayai dua ketul Swiss Gold Bar adalah tulen sehingga mangsa menyerahkan wang berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Bagan Ajam dekat sini pada jam 12.59 tengah hari 13 Jun lepas dan jam 11.01 pagi 14 Jun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Yong Yang juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdaya seorang wanita berumur 45 tahun dengan penjualan emas palsu menyebabkan mangsa memasukkan wang berjumlah RM34,000 ke dalam akaun bank tertuduh.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah restoran nasi kandar di sini antara jam 9 pagi hingga 6.34 petang pada 14 Julai lepas.

Majistret Siti Zulaikha Binti Nordin @Ghani membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM14,000 dengan seorang penjamin dan bagi kes kedua Teh juga dibenarkan diikat jamin RM14,000 dan menetapkan 9 Okt untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.