Timbalan mufti Rusia puji kemajuan Malaysia

Iklan
Anwar (kanan) mengadakan pertemuan bersama Rushan Hazrat Abbyasov (kiri) yang merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam hari ini. Foto Bernama

VLADIVOSTOK - Timbalan Mufti Rusia, Rushan Hazrat Abbyasov menyifatkan Malaysia sebagai negara Islam yang telah melakar pelbagai kemajuan dan banyak boleh dipelajari dari negara ini.

Rushan yang juga Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Mufti dan Lembaga Agama Islam menyuarakan perkara itu semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan kerja dua hari di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Pada pertemuan itu, Rushan berkata, Presiden Vladimir Putin sentiasa menyokong kuat umat Islam di Rusia dan menghormati agama Islam serta al-Quran.

Pertemuan itu turut menumpukan kepada meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk perbankan Islam, latihan dan pembangunan kapasiti serta pertukaran kepakaran selain potensi kerjasama dengan institusi di Malaysia seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muzium Kesenian Islam dan Bank Negara Malaysia.

Iklan

Kedua-dua pemimpin juga menegaskan solidariti mereka dengan perjuangan Palestin sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk menangani isu global yang menjejaskan komuniti Islam.

Pertemuan ini sebahagian daripada lawatan kerja dua hari Anwar ke Rusia bermula hari ini dan Perdana Menteri turut akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan.

Iklan

Turut hadir Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ini lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022. - Bernama