Manfaat pemakanan minyak sawit

Iklan
Walaupun benar bahawa minyak sawit mengandungi lemak tepu, ia juga menawarkan pelbagai nutrien yang menyumbang kepada kesihatan keseluruhan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Indra Balaratnam)

SEBAGAI seorang pakar perunding diet, saya telah mendengar pelbagai pendapat mengenai bahan atau sumber makanan, dan minyak sawit adalah salah satu topik yang sering diperdebatkan.

Minyak sawit sering mendapat kritikan ekoran kandungan lemak tepunya, tetapi tidak adil jika menolaknya semata-mata berdasarkan ciri ini dengan mengabaikan profil pemakanan secara menyeluruhnya.

Iklan
Iklan

Mari kita terokai manfaat unik minyak sawit dan memahami mengapa ia boleh menjadi bahagian yang berharga dalam diet sihat untuk rakyat di Malaysia.

Memahami minyak sawit

Iklan

Minyak sawit dihasilkan daripada buah pokok sawit (Elaeis guineensis), tanaman yang berasal dari kawasan tropika.

Di Malaysia, ia bukan sahaja digunakan sebagai minyak masak, tetapi digunakan juga dalam pengeluaran makanan kerana kestabilannya pada suhu tinggi dan jangka hayat yang panjang.

Iklan

Walaupun benar bahawa minyak sawit mengandungi lemak tepu, ia juga menawarkan pelbagai nutrien yang menyumbang kepada kesihatan keseluruhan.

Komposisi kaya nutrien

Salah satu ciri utama minyak sawit adalah kandungannya yang kaya karotenoid. Karotenoid, yang merupakan pendahulu kepada vitamin A, memainkan peranan penting dalam mengekalkan penglihatan yang baik, menyokong fungsi imun, dan menjamin kesihatan kulit.

Minyak sawit merah, yang boleh didapati di pasar raya tempatan kita pula sangat tinggi dengan beta-karotena, sebatian yang sama yang memberikan warna oren terang kepada lobak merah.

Selain karotenoid, minyak sawit adalah sumber yang terbaik bagi tokotrienol, sejenis vitamin E dengan sifat antioksidan yang kuat.

Antioksidan adalah penting untuk melindungi sel-sel kita daripada kerosakan oksidatif, yang dikaitkan dengan penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kanser.

Tokotrienol juga telah dikaji untuk kesan perlindungan sarafnya dan peranan potensinya dalam mengurangkan risiko strok.

Mengimbangi lemak dalam diet

Apabila membincangkan mengenai lemak dalam diet, adalah penting untuk mempertimbangkan keseimbangan keseluruhan daripada hanya memberi tumpuan kepada satu komponen sahaja.

Minyak sawit mengandungi campuran lemak tepu dan tidak tepu yang hampir seimbang, menjadikannya lebih seimbang berbanding banyak minyak lain.

Lemak tepu dalam minyak sawit terutamanya dalam bentuk asid palmitik, yang apabila dimakan secara sederhana sebagai sebahagian daripada diet seimbang, telah terbukti mempunyai kesan neutral terhadap paras kolesterol.

Selain itu, lemak tidak tepu dalam minyak sawit, seperti asid oleik dan asid linoleik, adalah amat baik untuk kesihatan jantung.

Asid oleik merupakan sejenis lemak monotepu yang diketahui dapat membantu mengurangkan paras kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL).

Ini menjadikan minyak sawit sebagai minyak masak serbaguna yang dapat menyokong kesihatan kardiovaskular apabila digunakan dengan betul.

Garis Panduan Diet Malaysia 2020: Cadangan mengenai lemak sihat

Menurut Garis Panduan Diet Malaysia 2020, orang dewasa digalakkan untuk mengambil pelbagai jenis makanan dan mempelbagaikan kaedah memasak dan dalam masa yang sama mengekalkan keseimbangan lemak yang sihat dalam diet.

Garis panduan ini menyarankan bahawa pengambilan lemak tidak seharusnya melebihi 30 peratus daripada jumlah pengambilan tenaga harian, dengan lemak tepu menyumbang tidak lebih daripada 10 peratus.

Apabila digunakan secara sederhana, minyak sawit memenuhi garis panduan ini, namun adalah penting untuk menggabungkan minyak sawit dengan pelbagai jenis lemak lain dalam diet kita untuk mencapai keseimbangan yang sihat.

Garis Panduan Diet Malaysia 2020 juga menggalakkan penggunaan pelbagai kaedah memasak dan minyak untuk memastikan pengambilan nutrien yang seimbang.

Salah satu kelebihan praktikal minyak sawit dalam memasak adalah kestabilannya pada suhu tinggi, menjadikannya pilihan yang sangat baik untuk kaedah memasak yang menggunakan haba tinggi.

Berbeza dengan sesetengah minyak yang boleh terurai dan membentuk sebatian berbahaya apabila dipanaskan, minyak sawit kekal stabil, mengekalkan integriti nutrisinya.

Kestabilan ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan makanan tetapi juga memastikan nutrien bermanfaat dalam minyak sawit kekal semasa proses memasak.

Titik asap yang tinggi pada minyak sawit menjadikannya pilihan yang ideal untuk kaedah memasak dengan haba tinggi seperti menggoreng dalam minyak yang banyak dan menumis dalam kuali.

Tip praktikal untuk penggunaan minyak sawit dalam diet sihat anda

Menggunakan minyak sawit secara sihat dalam diet harian anda adalah lebih mudah daripada yang anda sangkakan.

Berikut adalah beberapa tip mudah dan bijak:

1. Saiz hidangan yang berpatutan: Kunci untuk menjadikan minyak sawit sebagai diet yang sihat adalah kawal saiz hidangan. Gunakan minyak ini dengan sederhana untuk melengkapkan hidangan anda, bukannya sebagai sumber lemak utama. Sedikit minyak sudah memadai untuk menambah rasa dan manfaat nutrisi.

2. Campurkan minyak untuk keseimbangan: Pertimbangkan untuk mencampur minyak sawit dengan minyak lain di dapur anda. Sebagai contoh, semasa memasak, gunakan gabungan minyak sawit dan minyak lain yang mungkin anda gunakan sekarang. Pendekatan ini membolehkan anda menikmati manfaat kedua-dua lemak tepu dan tidak tepu, selaras dengan Garis Panduan Diet Malaysia 2020.

3. Tingkatkan penyerapan nutrien: Vitamin larut lemak seperti Vitamin A, D, E, dan K memerlukan lemak dalam diet kita untuk diserap. Sebagai contoh, apabila membuat salad dengan pelbagai jenis bahan, pertimbangkan untuk menggunakan sedikit minyak sawit untuk membuat sos yang enak bagi meningkatkan penyerapan nutrien penting ini. Atau titiskan sedikit minyak sawit pada herba dan rempah ratus anda untuk memerap daging, makanan laut, ikan, atau sayur-sayuran semasa membakar, memanggang, atau menggoreng menggunakan penggoreng udara.

4. Pilih minyak sawit merah untuk nutrien tambahan: Cuba gunakan minyak sawit merah dalam masakan anda. Kandungan beta-karotena yang tinggi bukan sahaja menambah warna yang menarik pada hidangan anda, tetapi juga meningkatkan pengambilan vitamin A, yang penting untuk kesihatan mata serta manfaat kesihatan lain.

5. Hadkan penggunaan dalam makanan bergoreng: Walaupun minyak sawit stabil pada suhu tinggi, adalah penting untuk mengehadkan pengambilan makanan bergoreng. Sebaliknya, cuba kaedah memasak yang lebih sihat seperti memanggang, mengukus, atau membakar, di mana anda boleh menggunakan minyak sawit secara sederhana.

6. Gabungkan Minyak Sawit dalam Pembuatan Kek: Minyak sawit boleh menjadi alternatif yang lebih sihat kepada mentega atau marjerin dalam pembuatan kek. Ia memberikan tahap lemak yang diperlukan untuk kelembapan dan tekstur tanpa lemak trans yang terdapat dalam sesetengah lemak yang diproses. Sebagai panduan, jika resipi menggunakan 1 cawan mentega, anda boleh menggunakan ¾ cawan minyak sebagai pengganti.

Penutup

Minyak sawit sememangnya boleh menjadi sebahagian daripada diet yang sihat untuk seisi keluarga di Malaysia apabila digunakan dengan bijak dan secara sederhana.

Profil pemakanan uniknya, kestabilan semasa memasak, dan potensi manfaat kesihatannya menjadikannya tambahan yang berharga di dapur kita.

Dengan mengikuti Garis Panduan Diet Malaysia 2020 dan menggabungkan pelbagai jenis minyak dan gaya masakan, kita dapat menikmati manfaat minyak sawit dan dalam masa yang sama mengekalkan diet yang seimbang.

Ingatlah, kunci pemakanan sihat ialah kepelbagaian, kesederhanaan, dan keseimbangan. Minyak sawit, dengan kandungan karotenoid dan tokotrienol yang diperkaya, boleh memainkan peranan dalam pendekatan seimbang ini untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan kita.

Jadi, marilah kita menghapuskan salah anggap dan menghargai spektrum penuh apa yang ditawarkan oleh minyak sawit sebagai sebahagian daripada diet seimbang untuk anda dan keluarga anda.

* Penulis adalah perunding pakar diet dan felo Persatuan Pakar Diet Malaysia.