70 pelajar tunggang motosikal tanpa lesen di Melaka

Iklan
Program Advokasi Kemalangan Jalan Raya melibatkan pelajar sekolah dianjurkan untuk memupuk budaya mematuhi peraturan jalan raya di usia muda, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan itu - Gambar hiasan

ALOR GAJAH - Seramai 70 penunggang motosikal dalam kalangan pelajar di enam sekolah menengah di Melaka, didapati tidak mempunyai lesen memandu dalam pemeriksaan dijalankan sempena Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya bermula Julai hingga hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, seramai 22 pelajar pula penunggang motosikal bawah umur, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas 371 kenderaan sepanjang program itu berlangsung.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 67 motosikal yang diperiksa tidak mempamerkan pelekat 'L' atau 'P', lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh (37 motosikal) dan tidak memakai topi keledar (14 orang).

"Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, pada tahun ini sahaja sebanyak 14 kemalangan termasuk empat kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah.

Iklan

"Justeru, Program Advokasi Kemalangan Jalan Raya melibatkan pelajar sekolah ini dianjurkan untuk memupuk budaya mematuhi peraturan jalan raya di usia muda, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan itu menerusi kaedah pendidikan dan kesedaran awal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Advokasi Kemalangan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin membabitkan pemeriksaan 126 motosikal.

Iklan

Muhammad Firdaus berkata, program itu disasar dilaksanakan di 15 sekolah menengah di sekitar Melaka dan setakat ini ia berjaya dilaksanakan di enam sekolah termasuk Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, SMK Telok Mas, SMK Hang Kasturi dan SMK St David.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah, program itu memberi kesan positif dalam kalangan pelajar terlibat sekali gus memupuk kesedaran mereka ketika berada jalan raya.

"Kita dimaklumkan kalau sebelum ini, terdapat pelajar yang tidak mempunyai lesen dan dinasihatkan pihak sekolah untuk mengambilnya namun tidak diambil berat, tetapi apabila program itu dilaksanakan di sekolah kesedaran pelajar tersebut meningkat untuk mengambil lesen.

"Tahun ini, program ini bermula agak lewat, namun saya percaya sasaran yang diletakkan untuk dilaksanakan di 15 sekolah di sekitar Melaka akan tercapai sekali gus memberi impak positif dalam kalangan pelajar, khususnya meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya,” katanya. - Bernama