SHAH ALAM – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menjelaskan gambarnya dan suami yang didakwa bersama mafia semasa berada di Myanmar adalah tidak benar kerana kumpulan itu sebenarnya pengawal keselamatan tapak projek.
Mashitah menerusi satu video di Facebooknya berkata, kehadiran beliau dan suami ke negara itu juga hanya sebagai tetamu jemputan dari seorang kawan bernama Datuk Seri Leong Kee Huat bagi majlis pecah tanah projek taman rekreasi dan industri Saixigang.
"Datuk Seri Kee Huat sebenarnya bawa saya dan suami pergi tengok tapak projeknya atas dasar kawan, jadi kami pergi melawat. Gambar itu sebenarnya gambar saya bersama pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan.
"Myanmar ini sebuah negara yang diperintah tentera, jadi senario pengawal keselamatan bawa senjata api itu perkara biasa di sana. Walau di mana-mana pun kalau kita jalan, akan ada tentera,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya dalam sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Mashitah bagaimanapun tampil menafikan terbabit dan mendakwa, tuduhan itu dikutip daripada media picisan di Indonesia.
Mengulas lanjut, Mashitah menegaskan, dalam majlis itu juga beliau dan suaminya tidak mengenali tetamu lain kecuali Kee Huat dan tidak mempunyai kaitan dengan tetamu yang didakwa terdiri daripada golongan mafia dan orang yang dikaitkan dengan bisnes pemerdagangan manusia.
"Dalam majlis tersebut, kebetulan Datuk Seri Kee Huat minta tolong jasa baik suami saya bacakan teks ucapan beliau yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris sedangkan majlis berkenaan bersifat antarabangsa.
"Saya dan suami juga tidak berkomunikasi langsung (dengan tetamu lain) sebabnya mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Ada limitasi bahasa. Jadi memang kami tidak bercakap dan berkenalan.
Mashitah berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang melemparkan tuduhan terhadap beliau juga bersifat biadab kerana turut memuat naik gambarnya bersama Sultan Pahang.
"Gambar saya mengadap Sultan Pahang pun di pusing (dimanipulasi) dengan tohmahan yang sangat jahat. Tuanku tidak ada kena mengena langsung, saya mengadap mohon nasihat berbincang mengenai yayasan.
"Gambar dengan Datuk Seri Ayob Khan (Timbalan Ketua Polis Negara) juga dimanipulasi, kami sebenarnya berbincang untuk menepis tohmahan pondok terlibat dengan keganasan. Tapi kapsyen gambar menuduh Datuk Seri Ayob sebagai tali barut terlibat dalam pemerdagangan,” katanya.
Katanya, beliau tidak faham kenapa perkara ini ditularkan dan mempersoalkan motif sebenar media dari Indonesia berbuat demikian.