Masak untuk suami benteng isteri daripada api neraka?

Iklan
MESKIPUN ada pertikaian pandangan tentang tugas memasak yang dikatakan merupakan 'kerja' orang lelaki, tetapi masih ramai wanita enggan ambil pusing dan tetap menyediakan hidangan buat suami tercinta. -Foto: Canva

BERKHIDMAT untuk suami sememangnya sudah menjadi tanggungjawab seorang isteri.

Meskipun ada pertikaian pandangan tentang tugas memasak yang dikatakan merupakan 'kerja' orang lelaki, tetapi masih ramai wanita enggan ambil pusing dan tetap menyediakan hidangan buat suami tercinta.

Iklan
Iklan

Ada yang mengatakan 'wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak-anaknya, ALLAH akan bina parit antara dirinya dengan neraka dengan jarak sejauh langit dengan bumi bagi menghalang bahang api neraka'.

Benarkah pernyataan itu dan adakah ia merupakan nas yang sahih?

Iklan

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, riwayat itu tidak ditemui dalam mana-mana karya hadis muktabar mahupun himpunan hadis-hadis daif.

"Lafaz riwayat ini hanya ditemui dalam bahasa Melayu sahaja dan tersebar di kebanyakan media sosial dan blog-blog bertujuan untuk menggalakkan si isteri berkhidmat kepada suaminya.

Iklan

"Meskipun begitu, matlamat tidak menghalalkan cara iaitu tujuan yang baik tidak boleh dilaksanakan dengan cara yang salah.

"Oleh itu, riwayat ini adalah palsu, bahkan tiada asalnya," katanya dipetik menerusi artikel Al-Kafi #2000: Kelebihan wanita yang mengeluarkan peluh ketika memasak untuk suami dan anak yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan baru-baru ini.

SEORANG isteri yang memasak untuk ahli keluarganya akan memperoleh ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT kerana ia suatu perbuatan mulia. -Foto: Canva

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan umat Islam agar tidak menyebarkan hadis-hadis palsu kerana ia satu perbuatan dosa.

"Tidak salah untuk memberikan galakan kepada isteri untuk berkhidmat kepada suami masing-masing, tetapi usahlah melakukan perkara sedemikian," tegasnya.

Antaranya Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:"Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Bagi seorang isteri yang memasak untuk ahli keluarganya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, wanita itu akan memperoleh ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT kerana ia suatu perbuatan mulia.

"Ketahuilah bahawa wanita solehah merupakan sebaik-baik harta bagi seorang lelaki kerana jika suami melihatnya, dia akan menyenangkan hatinya sebagaimana dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud,” tulis artikel berkenaan.