LUBNAN melakar kejutan apabila menumpaskan juara bertahan yang menghuni ranking 103 dunia, Tajikistan 1-0 dalam saingan Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Jaringan tunggal Jihad Ayoub pada babak pertama sudah cukup buat pasukan di ranking ke-116 dunia itu mara ke perlawanan akhir pada Sabtu ini.
Tajikistan yang dibimbing Gela Shekiladze turun tanpa beberapa pemain utama terpaksa akur dengan dominasi Lubnan pada aksi tersebut.
Lubnan turut diperkuatkan oleh dua bekas pemain Liga Malaysia, Rabih Ataya dan Khalil Khamis.
Rabih Ataya menjadi duri dalam daging buat Tajikistan apabila sepakan penjurunya disambut baik Jihad pada minit ke-13.
Meskipun tiada sebarang tambahan jaringan, namun gol tunggal tersebut sudah memadai buat Lubnan melangkah ke final Pestabola Merdeka edisi ke-43 itu.
Lubnan akan menantikan sama ada tuan rumah, Malaysia atau Filipina di pentas akhir bagi merebut gelaran juara.
Tajikistan pula akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.