SINGAPURA -"Sentiasa berfikiran terbuka, hidup tanpa pertikaian dan bekerjasama.”
Itulah harapan bagi setiap rakyat kedua-dua negara tanpa mengira latar belakang, untuk melihat berakhirnya pertikaian antara dua ‘saudara’ Malaysia dan Singapura.
"Singapura dan Malaysia mempunyai banyak persamaan. Kita harus menumpukan perhatian pada bidang yang boleh kita bekerjasama,” kata Manu Bhaskaran, seorang pakar ekonomi Asia yang berpangkalan di Singapura kepada Bernama.
Pada pandangan peribadinya, Bhaskaran, Pengarah Centennial Group International serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Centennial Asia Advisors berkata kedua-dua negara sebenarnya perlu hidup tanpa pertikaian.
"Kita secara relatifnya adalah ekonomi yang kecil dalam dunia yang sangat berdaya saing, kompleks dan cukup sukar,” katanya dan menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu ‘bekerjasama’.
"Bersama-sama, saya percaya kita boleh lakukan banyak perkara demi kebaikan rakyat kita,” katanya.
Beliau juga gembira apabila Malaysia dan Singapura setakat ini, berjaya mengatur perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian ruang udara dan maritim semasa pertemuan dua hala antara kedua-dua Menteri Luar iaitu Datuk Saifuddin Abdullah dan Dr Vivian Balakrishnan pada Selasa lepas.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung pelaksanaan Kawasan Larangan oleh Malaysia di Pasir Gudang, Johor dan pelaksanaan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) oleh Singapura untuk Lapangan Terbang Seletar.
Kedua-dua tempoh penggantungan serta-merta itu adalah selama sebulan.
Mengenai isu maritim berkaitan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja yang akan mengkaji dan membincangkan isu perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan di lapangan, dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut.
Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berharap kedua-dua pihak terus berfikiran terbuka dan mencari titik persamaan.
"Saya fikir ini sangat penting,” kata wanita pertama yang baru dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) itu.
Beliau berkata adalah penting juga untuk memastikan saluran komunikasi terbuka.
"Kita boleh tidak bersetuju tetapi sekiranya kita terus membuka saluran (komunikasi), sekurang-kurangnya kita dapat memahami di mana puncanya dan kita boleh cuba mencari penyelesaian.
"Jika kita tidak membiarkan komunikasi terbuka, maka kita akan menaruh kebimbangan yang tidak akan membawa kepada penyelesaian,” tambahnya.
Bhaskaran dan Rebecca ditemui Bernama di luar satu forum serantau, sebuah acara utama ISEAS – Yusuf Ishak Institute pada Rabu.
Semasa pertemuan dua hala antara Saifuddin dan Balakrishnan, terdapat beberapa pertukaran yang mana kedua-duanya membahasakan satu sama lain sebagai ‘saudara’.
Pertemuan itu diadakan di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura di Sherwood Road di sini. - Bernama