Koronavirus: Kematian di China meningkat kepada 304

Iklan
Petugas kesihatan memeriksa suhu orang awam wanita bagi menangani penularan wabak koronavirus. - Foto Getty Images

BEIJING: Jumlah kematian akibat wabak koronavirus baru di Hubei meningkat sebanyak 45 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 304 kes setakat Sabtu (1 Februari) malam, menurut laporan televisyen China.

Hubei, di mana virus tersebut bermula, mencatatkan 1,921 kes tambahan, menjadikan kesemuanya 9,074 jangkitan di wilayah itu.

Iklan
Iklan

Di seluruh negara itu, jumlah jangkitan setakat ini telah melebihi 14,300 kes, menurut laporan agensi berita CNA.

Kebanyakan kes kematian dan jangkitan virus yang dinamakan 2019-nCoV itu dilaporkan di Hubei, sebuah wilayah di tengah China yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Iklan

Pada Jumaat, seorang pegawai tinggi kerajaan di Wuhan, bandar yang mempunyai 11 juta penduduk di mana kes pertama dilaporkan pada Disember 2019, melahirkan kekesalan karena pihak berkuasa tempatan didakwa bertindak terlalu lambat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes positif koronavirus kekal lapan: KKM

Iklan

Minggu lepas, kerajaan pusat China bertindak menutup Wuhan dan kawasan sekitarnya di wilayah Hubei, serta menyekat perjalanan di seluruh negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk itu.

Bagaimanapun, wabak itu telah tersebar luas ketika orang Cina merantau ke seluruh negara dan luar negara sempena cuti Tahun Baru Cina yang bermula 25 Jan lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak tersebut satu darurat kesihatan global, tetapi tidak mengesyorkan sebarang sekatan perdagangan atau perjalanan antarabangsa.

Setakat ini, virus tersebut telah dilaporkan di lebih 20 negara seluruh dunia.

Beberapa negara mengambil langkah segera memindahkan warganegara mereka dari Wuhan, melibatkan ratusan warga Amerika Syarikat, Jepun, British, Perancis dan Korea Selatan setakat ini. -Astro Awani