KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan menyiarkan siaran langsung buat kali pertama kepada orang awam bermula Khamis.
Timbalan Speaker DUN Pahang, Lee Chin Chen berkata, langkah itu satu kemajuan dalam mereformasi DUN Pahang dan pencapaian penting hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, keputusan itu juga satu langkah penting dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti DUN Pahang sekali gus memastikan orang ramai dapat memantau perbincangan serta proses membuat keputusan secara langsung.
"Untuk pengetahuan semua, DUN Pahang tidak pernah menjalankan siaran langsung sejak penubuhannya namun dengan perkembangan teknologi dan era digital yang semakin pesat, kerajaan perpaduan kini berjaya mengambil langkah proaktif bagi merealisasikan siaran langsung perbahasan kali ini," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Pengerusi DAP Pahang itu berkata, usaha itu bertujuan memastikan keterbukaan, ketelusan, serta akauntabiliti dalam pentadbiran negeri Pahang.
"Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan perpaduan untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin melalui peningkatan akses kepada maklumat dan proses demokrasi.
"Siaran langsung ini bukan sahaja menyediakan platform untuk rakyat menilai sendiri prestasi wakil rakyat mereka, malah ia juga diharapkan dapat membina kepercayaan yang lebih kukuh terhadap institusi kerajaan negeri," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut berkata, dalam era yang serba moden ini, ketelusan dan akauntabiliti elemen penting dalam memastikan pentadbiran yang berkesan dan berintegriti.
Beliau turut menjelaskan, siaran langsung Sidang DUN Pahang itu akan disiarkan melalui akaun Facebook rasmi Dewan Negeri Pahang.
"Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan interaksi antara rakyat dengan wakil rakyat, dan diharap akan menginspirasikan lebih ramai untuk terlibat secara langsung dalam politik dan hal ehwal negeri.
"Semua rakyat Pahang dialu-alukan untuk menonton siaran langsung bersejarah ini pada Khamis (5 September) untuk bersama menyaksikan detik penting dalam sejarah DUN Pahang," katanya.