Kaji gunung di Pahang, jadikan aset pelancongan baharu - Sultan Pahang

Iklan
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan penyerahan bendera ekspedisi kepada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Al Rahman (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Bendera Ekpedisi ke Everest Base Camp (EBC) sempena memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Bukit Fraser hari ini. - Foto: Bernama

RAUB - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya gunung di negeri itu dikaji bagi mewujudkan aset pelancongan baharu.

Baginda bertitah usaha berkenaan secara tidak langsung dapat mempopularkan kawasan tempatan dan berhampiran gunung tersebut sekali gus merancakkan sektor pelancongan Pahang.

Iklan
Iklan

"Saya sarankan tubuh kelab mendaki, tujuan (penubuhan) bukan sahaja untuk mendaki kalau boleh kita kaji dan tengok gunung-gunung di Pahang ini.

"Jadikan satu aset pelancongan misalnya ekopelancongan atau pelancongan sukan yang boleh kita popularkan," titah baginda semasa Majlis Pelepasan Kontinjen Ekspedisi Everest Base Camp di Bukit Fraser di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar kenangan bersama peserta pendakian pada Majlis Penyerahan Bendera Ekspedisi ke Everest Base Camp (EBC) sempena memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Bukit Fraser hari ini. - Foto: Bernama

Mengenai ekspedisi yang diadakan sempena memuliakan hari ulang tahun keputeraan Sultan Pahang itu, baginda menzahirkan rasa kagum dengan semangat dan kesungguhan 45 pendaki termasuk 10 wanita yang menyertai misi tersebut.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi misi itu, pendaki yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dapat membina jati diri terutamanya melibatkan disiplin yang menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan.

"Saya telah sokong program ini 10 tahun...kita pergi kerana nak bina jati diri, patuh arahan ketua dan lebih penting tingkatkan ukhuwah sesama pendaki, sentiasa jaga keselamatan dan kesihatan. Saya doakan selamat pergi dan balik," titah baginda.

Baginda turut berkenan mengurniakan barangan beribadah seperti sejadah kepada Fadzli yang turut menyertai misi itu untuk disampaikan kepada Masjid Kashmiri Taqiya, terletak kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu.

Peserta eskpedisi selama 16 hari itu dijadualkan berlepas pada 9 September ini dan dijangka tiba di Everest Base Camp pada ketinggian 5,365 meter dari aras laut, 16 Sept ini sekali gus meraikan sambutan Hari Malaysia di sana.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah juga mengimbau kenangan ketika berkenan menjelajah Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, yang genap setahun September ini.

"Saya nak imbas kembali tarikh 4 September tahun lepas, saya telah memulakan Kembara Kenali Borneo, sudah setahun namun ia merupakan kenangan manis yang tidak akan dilupakan, gambar dan video masih lagi tular di TikTok," titah baginda yang turut menghargai sambutan diberikan penduduk Sabah dan Sarawak ketika itu. - Bernama