SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor berjaya menangkap buaya tembaga di Tasik Shah Alam Seksyen 7 dekat sini selepas kira-kira 10 jam perangkap dipasang di tasik berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Iklan
Iklan
"Buaya sudah ditangkap," katanya dan memaklumkan reptilia itu masih berada di lokasi sebelum kerja-kerja pemindahan dijalankan kakitangan Perhilitan Selangor.
Terdahulu, Perhilitan Selangor memasang dua perangkap dengan berat kira-kira 200 kilogram (kg) bagi setiap perangkap untuk menangkap buaya tembaga di tasik tersebut sekitar jam 10 pagi pada Rabu.
Wan Mohd Adib ketika ditemui berkata, dua perangkap yang dipasang diyakini berupaya untuk menangkap reptilia tersebut dan salah satunya dipinjam daripada Perhilitan Negeri Sembilan.