Melaka rancang menu RM10 sempena MBLM bulan depan

Iklan
Ab Rauf (tengah) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (kanan) semasa melancarkan Buku ‘Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2024’ pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama
MELAKA - Kerajaan Melaka merancang untuk memperkenalkan menu pada harga RM10 sempena program Melaka Bila Larut Malam (MBLM) bermula bulan depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya amat menggalakkan peniaga kedai makan untuk mengolah menu tersendiri di premis mereka bagi menyertai kempen berkenaan.

"Kita menggalakkan semua pemilik restoran, gerai-gerai untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri iaitu kita akan mempromosikan menu RM10 ini sebagai ikon untuk datang ke Melaka sempena MBLM.

"Jadi terserah kepada pihak kedai untuk mengolah menu RM10 ini macam mana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 di sini malam ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin.

Kerajaan Melaka melaksanakan Program MBLM pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan dengan beberapa kawasan pelancongan menawarkan tiket masuk pada harga serendah RM10. - Bernama