Sabah tubuh jawatankuasa, pasukan tugas tangani isu dokumen pengenalan diri

Iklan
Hajiji Noor

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) dan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu penduduk tanpa dokumen pengenalan diri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kabinet negeri hari ini memperakui pembentukan JKKSK untuk meneliti, menyegerakan dan membantu kedua-dua permohonan baharu dan permohonan tertunggak untuk kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Keputusan untuk membentuk jawatankuasa ini didorong oleh bilangan kanak-kanak di Sabah yang lahir tanpa dokumentasi yang membimbangkan sehingga membawa cabaran seperti kesukaran untuk mendaftar sekolah. Keadaan ini selalunya berpunca daripada kecuaian ibu bapa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata, JKKSK akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah manakala Jabatan Pendaftaran Sabah dan Bahagian Pendaftaran Negara dan Organisasi, Kementerian Dalam Negeri akan bertindak sebagai sekretariat bersama.

Iklan

"JKKSK akan diamanahkan untuk mengesyorkan pendaftaran kanak-kanak dan sesiapa di bawah umur 21 tahun sebagai warganegara tertakluk kepada Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan - Peruntukan Am Pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas akan ditubuhkan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri, bagi menangani isu penduduk tanpa izin yang berlarutan di negeri itu.

Iklan

Pasukan petugas tersebut akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. - Bernama