PENSWASTAAN operasi skuad bola sepak negara, Harimau Malaya dilihat pendekatan positif dalam mengembalikan ‘belang’ Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Malah penganalisis sukan tempatan Afizal Abu Othman menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari penanda aras yang boleh dijadikan contoh terbaik badan induk tersebut.
"Sejujurnya cadangan ini (pemisahan operasi FAM dan skuad Harimau Malaya) merupakan sesuatu yang baik, namun perlu dilakukan kajian lebih mendalam kerana melibatkan jangka panjang dalam menghasilkan keputusan positif.
"FAM juga perlu berguru terlebih dahulu dengan mencari persatuan bolasepak dalam kalangan negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun atau Arab Saudi yang pasukan bolasepaknya berada dalam ranking terbaik dunia.
"Paling penting penanda aras pengurusan juga perlu selari dengan gaya atau budaya bolasepak Malaysia kerana kita tentu mahu penghasilan keputusan lebih konsisten,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada Selasa, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman media sosialnya mencetus tanda tanya kemungkinan skuad Harimau Malaya akan diswastakan dalam masa terdekat.
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkongsi dokumen tertulis strategi pasukan kebangsaan dan beberapa jawatan yang terkandung dalam badan bebas yang akan menguruskan Harimau Malaya.
Badan bebas tersebut akan diketuai ketua pegawai eksekutif atau pengarah teknikal dan dibantu beberapa jawatan lain seperti pengarah kejurulatihan, ketua operasi dan pengarah strategi.
Pada masa sama Afizal percaya FAM boleh memberi tumpuan penuh kepada aspek pembangunan dengan penubuhan badan bebas mengendalikan skuad Harimau Malaya.
"Ini sesuai dengan peranan dimainkan yang persatuan bola sepak negeri dan kelab yang juga ahli gabungan FAM sebelum ini.
"Biarpun badan yang menguruskan pasukan Harimau Malaya ini sebuah badan bebas, namun ia masih lagi dipantau FAM dalam aspek gerak kerja, pemilihan pemain, scouting dan sebagainya,” ujarnya.