[VIDEO] Fokus rawatan emosi, psikologi

Iklan

KUALA LUMPUR - Rakyat Palestin yang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), di sini menerima rawatan yang sebaiknya mengikut kaedah dan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, selain rawatan fizikal, pihaknya turut memberi rawatan dari segi emosi dan psikologi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sesi kaunseling turut diberikan kepada mereka kerana rata-rata mangsa pernah merasai pengalaman peperangan serta hidup dalam ketakutan menjadi mangsa kekejaman pengganas Israel.

Dari kiri; Dr Mohd Mansor, Dr Zulkeffeli dan Nursyida ketika sidang akhbar pada sesi lawatan khas bersama media di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kuala lLumpur pada Selasa. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Pertamanya, ketika pesakit baru tiba, kita cuba berikan persekitaran yang selesa untuk mereka menyesuaikan diri.

Iklan

"Kedua, penglibatan dari pihak Kedutaan Palestin yang berperanan untuk melicinkan urusan komunikasi pesakit dengan pihak doktor.

41 pesakit rakyat Palestin membabitkan 20 lelaki dan 21 perempuan berusia lapan bulan hingga 62 tahun bersama ahli keluarga mereka, dibawa ke negara ini untuk menerima rawatan perubatan.

"Kita sama-sama memberi sokongan moral dan kaunseling secara bersama dan kita mahu pastikan mereka tidak lagi tertekan dengan keadaan perang,” katanya pada sesi lawatan khas bersama media di HATTM, di sini pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, usaha itu berhasil apabila pesakit dan keluarga semakin selesa dan tidak timbul masalah kebimbangan ataupun sebab-sebab lain.

Selain itu, berdasarkan permintaan selepas rawatan stabil, menurut Dr Zulkeffeli, pihaknya merancang untuk membawa mereka melihat keadaan di negara ini.

"Pun begitu perkara ini akan diaturkan bersama pihak Kedutaan Palestin kerana banyak perkara perlu diambil kita terutama melibatkan soal keselamatan.

"Kita tidak mahu perkara tidak baik berlaku kerana mereka adalah tetamu kita,” ujarnya,

Pesakit rakyat Palestin didiagnosis tahap kesihatan di Hospital Medan TUDM, Subang sebelum dibawa ke (HATTM) untuk rawatan lanjut.

Mengulas kesediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menerima tugasan seterusnya untuk merawat rakyat Palestin, Dr Zulkeffeli berkata, pihaknya sedia menggalas tanggungjawab itu sekiranya program berkenaan diteruskan pada masa akan datang.

"Kita bukan sahaja bersedia dari segi psikologi tetapi turut bersedia dari aspek keupayaan kepakaran rawatan yang diperlukan oleh mangsa,” ulasnya,

Difahamkan seramai 60 petugas kesihatan terdiri daripada doktor, jururawat dan pembantu perubatan bertugas bagi memastikan rakyat Palestin yang berada di HATTM mendapat rawatan sebaik mungkin dan sembuh daripada kecederaan mereka.

Menurut Dr Zulkeffeli, daripada 41 rakyat Palestin yang cedera dan dibawa ke hospital berkenaan, sebanyak 15 kes memerlukan pembedahan ortopedik termasuk empat yang memerlukan kerjasama doktor pakar dari Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

HATTM turut mendapat kerjasama Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerusi khidmat nasihat dalam bidang nefrologi.

Selain itu, HATTM juga telah berjaya melaksanakan pembedahan bagi implan orbital terhadap seorang pesakit kanak-kanak yang kehilangan anggota keluarganya kecuali nenek dan kini sedang menunggu untuk penyesuaian mata palsu.

"Terdapat juga dua pesakit memerlukan pembetulan bibir dan lelangit dan dua pesakit yang memerlukan pemasangan kaki palsu," katanya.

Hadir sama, Komander Misi Perawatan Palestin yang merupakan Ketua Jabatan Oftalmologi HATTM, Brig Jen Dr Mohd Mansor Shariff.

Sementara itu Penyelia Jururawat HATTM, Nursyida Jamaludin berkata, bagi memastikan psikologi pesakit turut dirawat, kaedah komunikasi ringkas digunakan antaranya aplikasi penterjemahan bahasa seperti Google Translate, bahasa isyarat dan mimik muka misalnya, untuk bertanyakan khabar atau 'sudah makan ubat atau belum'.

Ujarnya, rata-rata mangsa telah melalui peperangan yang panjang sebelum dibawa ke sini membuatkan mereka sukar untuk mempercayai orang asing selain tidak memahami bahasa Inggeris.

"Ini pertama kali kita menerima mangsa peperangan terutamanya orang awam. Bila mereka tiba di Malaysia apa yang saya nampak tidak seperti apa yang digambarkan.

"Berdasarkan pengalaman, mereka tidak akan bercakap apapun selagi tidak percaya,” katanya

Ujarnya, bagi menyelesaikan isu itu, khidmat penterjemah diperlukan untuk memudahkan komunikasi.

"Kita kena duduk dan sentiasa cuba berkomunikasi dengan bahasa isyarat atau mimik muka agar mereka percaya bahawa kita mahu membantu dan berada di sebelah mereka,” jelasnya

Tambah Nursyida, selepas hampir tiga minggu bersama pesakit-pesakit tersebut, beliau merasakan mereka dan pasukan perubatan di HATTM bagaikan satu keluarga.

"Walaupun perbezaan bahasa itu kadangkala menyukarkan komunikasi tapi mereka mula mesra, boleh tunjuk gambar seperti hendak balik ke transit, hendak basuh baju dan sebagainya,” katanya.