MAS, jangan hampakan harapan penumpang setia

Iklan
Insiden pesawat MAS yang tujuh kali berpatah balik dalam tempoh tiga bulan benar-benar mencetuskan polemik kepada pelbagai pihak. Gambar hiasan

TIDAK dinafikan Malaysia Airlines (MAS) merupakan syarikat penerbangan nasional negara yang menjadi kebanggaan rakyat negara ini.

Namun, insiden pesawat MAS yang tujuh kali berpatah balik dalam tempoh tiga bulan benar-benar mencetuskan polemik kepada pelbagai pihak.

Iklan
Iklan

Kejadian kali ketujuh itu membabitkan penerbangan MH66 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada Isnin lalu.

Dimaklumkan, tindakan berpatah balik dilakukan sebagai tindakan berjaga-jaga susulan berlaku masalah teknikal membabitkan sistem hidraulik.

Iklan

Sebelum itu, pada 22 Ogos lalu, penerbangan MH152 dari Kuala Lumpur yang menuju ke Madinah, Arab Saudi terpaksa berpatah balik kerana masalah pressurisation forced dan mendarat semula di KLIA.

Sehari sebelum itu pula, penerbangan MH386 yang menggunakan pesawat Airbus A330-300 dari Kuala Lumpur ke Shanghai, China berpatah balik ke KLIA selepas terbang selama kira-kira 70 minit kerana masalah tekanan kabin.

Iklan

Pada 20 Ogos pula, penerbangan MH128 dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur membuat hentian kecemasan di Lapangan Terbang Alice Springs, Australia kerana masalah enjin.

Itu antara sebahagian kejadian atau insiden yang memaksa penerbangan MAS berpatah balik atau melakukan pendaratan kecemasan. Impak daripada tindakan dan kejadian itu sebenarnya mampu menjejaskan jumlah penumpang sedia ada.

Sekiranya berlaku kemerosotan jumlah penumpang yang sudah hilang kepercayaan kepada perkhidmatan penerbangan itu, tidak mustahil MAS akan mengalami kerugian drastik.

Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff memaklumkan, paling membimbangkan apabila situasi itu juga mampu menjejaskan kebenaran pesawat MAS untuk ke negara-negara lain. Ia membawa maksud kredibiliti penerbangan MAS semakin terhakis berikutan kejadian seumpama itu.

Susulan itu, MAS perlu mengambil langkah drastik dengan memastikan setiap penerbangan atau pesawat mereka berada dalam keadaan terbaik sebelum berlepas.

Setiap pesawat yang bakal berlepas perlu berada dalam keadaan optimum, anak-anak kapal termasuk juruterbang dan kru teknikal juga wajib peka dengan perubahan sekeliling.

Ini bagi memastikan kejadian penerbangan berpatah balik atau mendarat cemas tidak berulang sekali gus menjejaskan kredibiliti MAS.

MAS perlu buktikan bahawa mereka masih mempunyai penumpang setia di setiap pelosok dunia.