HAKIKATNYA kita adalah spesies manusia yang ‘terpaksa’ bergelumang dengan pelbagai kerenah manusia yang baik dan buruk. Pada masa yang sama, kita perlu sesuaikan diri dengan kelompok manusia yang kuat, di mana sentiasa mencari jalan untuk menindas yang lemah.
Pendek kata, gelombang ujian hidup datang daripada pelbagai arah. Kegagalan kita menjadi diri sendiri dan banyak bergantung kepada orang lain, menjadikan kita sangat lemah untuk mencari ‘jalan pulang’ nanti.
Justeru, kita perlu pasak kekuatan diri bagaikan akar tunjang yang tertusuk ke dalam perut bumi. Menjadi kuat, kita perlu cerdik dan matang. Perkara utama yang mendasari cerdik dan matang adalah ilmu.
Namun, ilmu perlu diteroka dengan kaedah dan disiplin yang betul. Jika tidak, kita menjadi penyebar ilmu ‘separuh masak’ dan jauh sama sekali menjadikan kita cerdik dan matang.
Jika ditinjau realiti kehidupan pada hari ini, amat sedikit yang berani tegakkan kebenaran. Sebaliknya amat selesa berkongsi cerita yang kononnya benar, namun salah di penghujungnya.
Sebagai contoh, pernyataan: ‘Ditangkap mencuri, kerana membantu ibu sakit buah pinggang’. Pemerhatian saya, ramai sungguh yang repost dan share status berkenaan dengan menempelak orang itu dan ini.
Namun, hasil siasatan mendapati pernyataan berkenaan adalah palsu. Peliknya, tidak pula dibuat repost dan share kebenaran tersebut. Itulah namanya kejahilan.
Jelasnya, contoh tersebut adalah satu daripada ribuan kecelaruan manusia dalam melakukan tindakan, menyelesaikan masalah serta membuat keputusan dalam kehidupan.
Selayaknya, golongan sebegitu ‘dicucuk hidung’, ‘dibutakan mata’ dan ‘dipekakkan telinga’ kerana ‘menyerahkan diri’ atas nama kejahilan.
Tidak hairanlah, jika begitu mudah menjadi pengikut tegar content creator yang memualkan, mangsa scammer, orang politik yang berkepentingan dan sebagainya lagi. Persoalannya, kenapa masih ramai yang memilih kejahilan berbanding kebenaran?
Menurut perspektif psikologi, terdapat beberapa sebab mengapa manusia menolak kebenaran, antaranya: mengetepikan segala fakta sekiranya bercanggah dengan kepentingan dan pendirian mereka, dipengaruhi oleh kelompok yang mereka sertai dalam membuat keputusan, membuat keputusan berdasarkan emosi, tidak menguasai kemahiran berfikir berdasarkan fakta, menggunakan helah bela diri yang merosakkan diri dalam jangka masa panjang (contohnya, jika tidak membeli belah di pusat beli-belah, dia akan stres.
Akhirnya tersangkut dengan hutang kad kredit), terlibat dalam kegiatan berisiko demi mencapai kekayaan dan mudah berputus asa untuk keluar dari kepompong kejahilan.
Berkaitan dengan perspektif tersebut, adalah jelas, sifat jahil disebabkan oleh kegagalan menguruskan kelemahan akal, emosi dan terbawa-bawa dengan peniruan tingkah laku orang lain.
Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda; ‘Orang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai ALLAH berbanding orang mukmin yang lemah dalam setiap kebaikan.
Oleh itu, berusahalah mencapai sesuatu yang memanfaatkan kamu, pohonlah pertolongan daripada ALLAH dan jangan kamu bersikap lemah.
Sekiranya kamu ditimpa sesuatu, janganlah kamu sebut; ‘kalaulah saya buat begitu dan begini’, sebaliknya sebutkan; ‘ALLAH telah mentakdirkan, dan apa yang Dia kehendaki pasti akan berlaku, ‘kerana ucapan kalau ini, akan membuka langkah syaitan’. (Hadis Riwayat Muslim).
Mengulas hadis berkenaan, menurut Dr. Mutha’ Barakat (dalam buku 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW): ‘Kesulitan yang lebih besar adalah, melihat sifat lemah itu dengan reaksi yang lemah. Oleh itu, mengenal pasti sifat lemah adalah amat mustahak.
Setelah mengenal pasti sifat lemah, kita seharusnya mengenal pasti cara untuk keluar daripada kelemahan tersebut’.
Pada hemat saya, kita berasa lemah dan tidak berkeyakinan tinggi untuk keluar daripada kitaran kejahilan, kerana kita pilih untuk sebegitu. Ingatlah, orang lain tidak akan bertanggungjawab atas bebanan kejahilan yang kita lakukan di dunia ini.
Malah, segala impak keburukan, kesan daripada kejahilan tersebut, sebesar zarah pun akan dikira di akhirat nanti. Jika berasa tidak gusar dengan balasan-Nya, teruskanlah kejahilan kamu.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling di Universiti Malaysia Perlis