PBT di tiga negeri bawah PN tiada unit integriti

Iklan
(Dari kanan) Wira Nor Azman, Kor Ming, Azam dan Norazlan selepas satu pertemuan yang membincangkan pelan tindakan dan strategi membanteras rasuah.

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di tiga negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan didapati belum menubuhkan unit integriti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penubuhan unit itu penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT dalam usaha Kerajaan Madani membanteras rasuah.

Iklan
Iklan

"Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, saya mengarahkan semua PBT yang belum melaksanakan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini untuk segera menubuhkan unit integriti masing-masing.

"Saya memuji Selangor dan Pulau Pinang, negeri ini adalah contoh terbaik dalam pelaksanaan surat pekeliling JPA untuk menubuhkan unit integriti seperti yang terkandung dalam kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan menerima kunjungan hormat dan laporan kajian SPRM daripada Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Menerusi pertemuan berkenaan, perbincangan mengenai plan tindakan dan strategi mencegah amalan rasuah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menjunjung prinsip integriti telah diadakan.

Iklan

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Nor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fazli Kenari.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kerajaan akan terus memantau dan memastikan unit integriti berfungsi dengan baik.

Ujarnya, inisiatif berkenaan adalah untuk menjunjung prinsip integriti selaras dengan prinsip Kerajaan Madani yang menegaskan prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik.