SHAH ALAM - Sebanyak 2,500 tiket percuma ke Taman Tema Escape, Pulau Pinang yang mempunyai gelongsor air terpanjang di dunia sedia untuk direbut pembaca Sinar Harian pada Februari ini.
Eksekutif Kanan Audience Activation Sinar Harian, Mohd Firdaus Ishak berkata, bagi menebus tiket berkenaan, pembaca perlu mengumpul satu hingga tujuh keratan token iklan Taman Tema Escape berserta logo muka depan Sinar Harian bermula 5 Februari hingga 11 Februari 2020.
"Pembaca perlu mengisi butiran di www.sinarharian.com.my/escape yang dibuka bermula 10 Februari hingga 18 Februari 2020 dan pastikan kesemua terma serta syarat dibaca dengan teliti.
"Selain itu, bagi tujuan penebusan pembaca perlu mencetak dan membawa borang penebusan yang telah didaftarkan secara dalam talian bersama keratan token serta loga muka depan akhbar Sinar Harian ke pejabat Sinar Harian pada 19 hingga 20 Februari 2020,” katanya.
Beliau berkata, tempoh sah laku bagi tiket Taman Tema Escape yang ditebus ialah dari 20 Februari hingga 30 Jun 2020.
"Tiket percuma layak untuk taman tema sahaja,” katanya.
Tambah beliau, hanya pembaca Sinar Harian berumur 18 tahun ke atas layak membuat penebusan.
"Seorang layak menebus satu tiket percuma sahaja. Satu tiket bagi setiap keratan baucar dan keratan baucar asli sahaja akan diterima.
"Baucar tidak boleh digandingkan dengan tiket pembelian awal dan lain-lain promosi. Perlu diingatkan, makanan dari luar tidak dibenarkan dibawa masuk ke taman tema. Selain itu, baucar tidak boleh ditukar kepada tunai,” katanya.
Gelongsor air di Taman Tema Escape sepanjang 1.140 kilometer (km) itu menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record (GWR) sebagai gelongsong air terpanjang di dunia.