Pukat koyak, pemuda hilang dikhuatiri dibaham buaya

Iklan
Gambar hiasan.

KINABATANGAN - Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika mengambil ikan yang dipukatnya dalam kejadian di sungai berhampiran kawasan ladang di sini pada Rabu.

Mangsa Brono Kamil Js Nahak, 25, keluar ke sungai tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum disedari hilang kira-kira tiga jam kemudian.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.28 pagi Khamis.

Katanya, seramai tiga anggota dalam perjalanan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 150 kilometer untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Iklan

"Bilik kawalan BBP Kinabatangan terima laporan kecemasan terdapat seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya semasa memukat di sungai.

"Menurut maklumat awal, mangsa turun ke sungai untuk memungut hasil ikan melalui pukat yang telah dipasangnya tetapi sehingga ke petang tidak pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Katanya lagi, rakan sekerja mangsa bertindak mencarinya di lokasi kejadian pada jam 3 petang, namun hanya barang miliknya ditemui termasuk motosikal dan pukat.

"Rakan-rakan mangsa berusaha mencari di sekitar sungai, namun gagal dan hanya terdapat sebuah motosikal bersama baju, topi, kasut serta pukat ikan yang telah koyak berkemungkinan mangsa disambar buaya," katanya.

Nurul Azlan berkata, maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.