SHAH ALAM - Pemilik sebuah restoran nasi lemak berjaya memulangkan semula baki wang seorang pelanggan yang terlebih membuat bayaran berjumlah RM2,660 di premisnya.
Sebelum ini tular di laman sosial pihak restoran itu mencari pelanggan tersebut yang tersalah memasukkan amaun empat angka untuk bil yang berjumlah RM26.60 ketika membuat pembayaran menerusi kod QR di kaunter.
Justeru, pemilik restoran memutuskan untuk menularkan kejadian itu di platform media sosial supaya baki wang terlebih milik pelanggan tersebut dapat dipulangkan.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, restoran berkenaan turut berkongsi tangkap layar memaparkan pelanggan itu ketika sedang membuat pembayaran di kaunter.
"Adakah ini anda? Anda telah tersilap membayar secara QR kepada kami sebanyak RM2,660 untuk bil yang berjumlah RM26.60.
"Mohon bantu kami mencari pelanggan ini supaya kita boleh pulangkan semula baki wang itu kepada mereka! Kita (Botak Nasi Lemak), bukan Botak Omakase (merujuk kepada restoran mewah Jepun)," katanya.
Hantaran berkenaan mengundang tumpuan dan reaksi ramai dengan rata-ratanya memberi sokongan menekan butang ‘kongsi’ supaya ia sampai ke pengetahuan pelanggan.
Dalam pada itu, ramai juga yang memuji pihak restoran kerana tidak mengambil kesempatan atas kesilapan pelanggan namun segera bertindak memulangkan wang lebihan.
Pihak restoran menerusi ruangan komen hantaran yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana menularkan perkongsian itu sehingga wang berjaya dipulangkan.