KUALA SELANGOR - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof dan Ira Kazar bercerai talak satu pada Khamis.
Pengesahan cerai itu dibuat Hakim Syarie Mohd Faizal Habib selepas berpuas hati dengan pengakuan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, selepas wujud pelanggaran taklik.
Peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Rais berkata, mahkamah mengesahkan berlakunya perlanggaran lafaz taklik selepas Ira mengakui membuat hantaran di media sosial.
"Tempoh idah Ira juga bermula pada tarikh pelanggaran taklik (14 Ogos lalu)," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Fadhil Abd Razak yang mewakili Ira berkata, mahkamah telah mendapati penceraian pasangan itu telah berlaku di luar mahkamah.
"Mahkamah telah mendapati penceraian telah berlaku antara pihak Syamsul dengan anak guam saya (Ira).
"Fokus kita adalah pengesahan lafaz cerai dan keterangan telah diambil dan keputusan sudah dibuat hari ini," jelas beliau.
Tambahnya, dengan keputusan mahkamah kes cerai kedua-dua mereka sudah selesai.
Terdahulu Syamsul, 40, atau nama sebenar Mohd Syamsul Mohd Yusof memfailkan perceraian ke atas Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, 19 Ogos lalu.
Sebelum ini Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Rentetan itu, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama Syamsul nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.