SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan suruhanjaya integriti dan rasuah sebagai kakitangan pemantau bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, inisiatif berkenaan bertujuan untuk membendung jenayah salah guna kuasa atau rasuah dalam kalangan penjawat awam dan swasta.
"Isu ini sangat besar dan sudah membarah. Kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan pendidikan antirasuah supaya dapat membendung kesalahan jenayah integriti dan rasuah.
"Jika dibiarkan tanpa tindakan tegas, ia akan memberi kesan kepada negara iaitu wang negara dibazirkan dengan tuntutan palsu yang tidak masuk akal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, tiga doktor pakar tulang bersama 30 individu direman antara sehari hingga tiga hari bagi membantu siasatan kartel kes memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan jumlah RM2.1 juta.
Menurut sumber SPRM, selain tiga doktor tersebut, mereka yang direman adalah 19 pemohon tuntutan, lapan ejen dan tiga 'runner'.
Modus operandi kartel tersebut adalah dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).
Dalam pada itu, Nor Halmey berkata, semua penjawat awam dan swasta wajib mematuhi kehendak kerohanian asas yang dituntut agama.
Tambah beliau, mereka juga perlu sentiasa diberi kursus secara berkala berkaitan integriti dan ujian yang merangkumi segala aspek jenayah rasuah.
Pada masa sama, Nor Halmey menegaskan, individu atau pihak yang masih giat menjalankan kegiatan tersebut perlu menghentikannya segera.
"Anda yang sedang atau ingin mencuba perkara sebegini, sedarlah bahawa apa yang dilakukan adalah kesalahan besar di sisi undang-undang negara.
"Hentikan segera dan jadi manusia serta rakyat yang bertanggungjawab kepada negara," ujarnya.