Intel berhentikan sebahagian projek di Pulau Pinang

Iklan
Lebih daripada 2,000 pekerja Intel di Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan. Foto Invest Penang

PEMBUAT cip Amerika Syarikat (AS), Intel dikhabarkan telah menghentikan sebahagian projek pembungkusan dan ujian cip baharu mereka di Pulau Pinang.

Memetik laporan daripada The Star, ia merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM30.3 bilion) yang diumumkan tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Langkah ini diambil berikutan masalah aliran tunai yang menyebabkan Intel menggantung pembayaran dividen dan memulakan pengurangan pekerja pada seluruh operasinya di peringkat global.

Bagaimanapun, penangguhan sebahagian daripada projek ini dijangka hanya menjejaskan kilang baharu Intel tanpa memberi kesan kepada operasi sedia ada.

Iklan

Syarikat tersebut, yang menggajikan kira-kira 14,000 pekerja dikatakan akan mengurangkan tenaga kerja sebanyak 15 peratus selaras dengan rancangan global.

Ini bermakna lebih daripada 2,000 pekerja Intel di Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan.

Iklan

Menurut sumber The Star, Intel sedang mempertimbangkan semula pelaburan baharunya, bukan sahaja di Malaysia malah di negara lain.

Bagaimanapun, pembinaan kilang cip baharu Intel di Bayan Lepas masih diteruskan namun dengan pengurangan jumlah pekerja.

"Sebelum ini, mereka telah memindahkan peralatan ke bangunan yang sudah hampir siap dibina, tetapi kini proses pemindahan peralatan itu telah dihentikan. Pihak pengurusan sedang merangka strategi untuk menentukan projek mana yang akan diteruskan secara global.

Difahamkan bahawa proses pembuangan pekerja telah bermula dan pekerja diberi pilihan untuk turut serta secara sukarela.

Dikatakan, Intel menyediakan beberapa pakej persaraan bagi mereka yang telah lama berkhidmat di syarikat berkenaan.

Selain itu, terdapat juga pilihan untuk pemberhentian secara sukarela.

Pihak pengurusan akan menilai jumlah pekerja yang memilih untuk memilih pakej yang disediakan dan keputusan akan dibuat sama ada perlu melaksanakan pembuangan secara paksa atau sebaliknya.

2 Ogos lalu, Intel mengumumkan bahawa ia merancang untuk mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 15 peratus sebagai sebahagian daripada program pemotongan kos bernilai berbilion dolar.

Intel berkata, majoriti pemberhentian, yang dijangka melebihi 18,000, dijangka diselesaikan menjelang akhir 2024.

Langkah itu adalah sebahagian daripada pelan penjimatan kos AS$10 bilion (RM43.3 bilion) di tengah-tengah kerugian yang dialami pembuat cip terkemuka dunia itu.

Mulai suku keempat dan seterusnya, Intel juga berhasrat untuk berhenti membayar dividen buat masa ini, umum syarikat AS itu selepas penutupan pasaran saham.

Pada suku kedua, Intel mencatatkan kerugian lebih AS$1.6 bilion berbanding keuntungan AS$1.48 bilion (RM6.4 bilion) setahun sebelumnya.

Perolehan merosot satu peratus tahun ke tahun kepada AS$12.8 bilion (RM55.4 bilion), meleset daripada jangkaan penganalisis.