IPOH - Yayasan Telekom Malaysia (YTM) menyerahkan sumbangan bernilai RM3.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pada pelancaran Yayasan TM TVET Madani@POLYCC.
Sinergi dan kolaborasi antara YTM dan JPPKK itu merupakan usaha dalam memartabatkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Peruntukan itu bertujuan untuk melaksanakan aktiviti penyediaan kemudahan pembelajaran mengikuti spesifikasi industri, latihan serta yuran kursus pensijilan profesional pelajar menerusi bidang fokus seperti ‘cybersecurity’, ‘cloud computing’, fiber dan ‘software testing’.
Sumbangan itu juga dapat menyokong antara lima fokus yang digariskan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu penyediaan bakat terbaik negara serta pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
Pelancaran Yayasan TM TVET Madani@POLYCC itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada Rabu.
Turut mengiringi Zambry adalah Pengerusi YTM, Datuk Zainal Abidin Putih dan Pengarah YTM, Ainol Shaharina Sahar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata, kerjasama yang terjalin antara politeknik, kolej komuniti dan rakan industri telah membuahkan banyak kejayaan.
Menurut beliau, program-program latihan industri, penyelidikan bersama dan inisiatif pemindahan teknologi adalah antara contoh kolaborasi itu memberi manfaat besar kepada kedua belah pihak.
"Graduan kita bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan kemahiran teknikal yang relevan, tetapi juga keyakinan dan pengalaman praktikal yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan yang sebenar.
"Hubungan sinergi ini adalah bukti nyata bahawa usaha bersama mampu mengangkat mutu pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti," katanya.
Mohd Zahari berkata, kebolehpasaran graduan politeknik mencatat 97.1 peratus pada 2023 dan menarik lebih 30,000 pelajar bagi ambilan baru-baru ini.
"Kejayaan besar ini antaranya sokongan padu 19,000 industri yang sentiasa memberi sokongan yang tidak pernah jemu sama ada dalam bentuk tajaan peralatan, biasiswa, penempatan latihan industri, perkongsian kepakaran dan banyak lagi," katanya.
Terdahulu Zambry turut merasmikan Program Industri Nexus POLYCC (INDex POLYCC 2024) yang merupakan platform strategik bagi KPT dan JPPKK untuk berinteraksi secara langsung dengan 20 ahli Majlis Penasihat Industri Politeknik.
Program itu bagi memberi penekanan kepada kerjasama strategik yang membolehkan pensyarah dan pelajar politeknik dan kolej komuniti mendapatkan manfaat melalui penawaran program yang mengikut keperluan industri, latihan industri yang berstruktur dan terkini, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Pada majlis itu, seramai 45 pemain industri turut menerima watikah pelantikan CEO@POLYCC diikuti oleh sesi pertukaran 15 Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dan industri terlibat.