KOTA BHARU - Hasrat seorang peniaga nasi berlauk melestarikan alam sekitar dengan mengitar semula minyak masak memberi manfaat apabila bayaran diterima berbaloi untuk dijadikan modal pusingan.
Norzila Yaacob, 47, berkata, dia menggunakan minyak masak sebanyak satu kilogram (kg) setiap hari untuk menggoreng 4kg hingga 5kg ayam bagi menjalankan perniagaannya di Kampung Nilam Baru, Kedai Mulong, sejak setahun lalu.
Menurutnya, minyak masak itu hanya digunakan sekali untuk menggoreng ayam bagi menjamin dan mengekalkan kualiti serta rasa ayam goreng.
"Duit yang diperoleh itu hanya perlu ditambah 50 sen lagi bagi membeli minyak masak baharu berharga RM3 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Jiwa Komuniti Madani @ Merdeka Pintu Geng, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Pengurus Wilayah Timur Jabatan Jualan Runcit Petronas Dagangan Berhad, Mohamed Rafik Rahmat, berkata, pihaknya memulakan program kitar semula minyak masak terpakai di seluruh negara bermula pada April lalu.
"Orang ramai boleh menghantar minyak masak yang sudah digunakan di stesen minyak Petronas terpilih misalnya di Kelantan iaitu di Jalan Bayam dan Padang Tembak, dua kali seminggu pada Sabtu.
"Akan ada syarikat berlesen yang ditempatkan di stesen minyak tersebut bagi membeli minyak masak terpakai daripada pengguna dengan harga RM2.50 sekilogram,” katanya.