Penduduk lega jambatan uzur diganti baharu bernilai RM9.3 juta

Iklan
Ahmad (tengah) meninjau lokasi projek di Kampung Baru Tengah di Kluang pada Khamis.

KLUANG - Lebih 10,000 penduduk Kampung Baru Seri Tengah, di sini, menarik nafas lega apabila jambatan sempit dan uzur yang digunakan sejak lebih 20 tahun lalu akan digantikan dengan jambatan baharu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jambatan berharga RM9.3 juta itu bakal dibina pada tahun hadapan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, projek berkenaan kini di peringkat kerja ukur dan tender dijadual diiklankan pada Februari 2025 dan seterusnya penyerahan Surat Setuju Terima, empat bulan kemudian.

"Kesesakan lalu lintas di laluan ini berpunca daripada jambatan yang sempit dengan kelebaran 4.6 meter di mana pergerakan hanya sehala dan kenderaan dari arah yang bertentangan perlu berhenti untuk memberi laluan.

Iklan

"Jambatan sedia ada yang sempit akan dinaik taraf daripada satu lorong kepada dua lorong mengikut spesifikasi piawaian JKR R2," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi projek di Kampung Baru Tengah, di sini, pada Khamis.

Katanya, tempoh pembinaan jambatan berkenaan selain pembesaran jalan sepanjang kira-kira 350 meter dianggarkan selama dua tahun setengah.

Iklan

"Ketika pembinaan dijalankan, jambatan ini tidak akan ditutup penggunaannya.

"Jambatan yang sebelum ini berbentuk L dan menimbulkan bahaya kepada pengguna akan digantikan kepada bentuk seperti huruf S dan diyakini tidak akan membahayakan sama ada pengguna motosikal atau kereta," katanya.

Menurut beliau, agensi pelaksana projek adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala JKR Negeri Johor sebagai pegawai penguasanya.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa peka dan cakna akan situasi semasa sama ada berdasarkan cerapan dan pemantauan pejabat JKR setempat mahupun dari maklum balas Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan rakyat.

"Kementerian berharap pasukan pengurus projek dapat merealisasikan pelaksanaan projek berimpak kepada rakyat Madani di Kluang ini selaras dengan hasrat program MY Jalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa," katanya.