SHAH ALAM - PMB Investment Bhd (PMB Investment), sebuah syarikat pengurusan dana Islam terkemuka di bawah Pelaburan MARA Berhad, dijangka mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Idzwan Idzuddin Ab Rahman sebagai Pengerusi baharunya untuk tempoh dua tahun.
Difahamkan Mohd Idzwan telah mendapat surat pelantikan tersebut yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 2 September lalu.
"Pelantikan ini menandakan penambahan yang signifikan kepada pasukan kepimpinan syarikat, meningkatkan keupayaan strategik dalam sektor kewangan Islam.
"Mohd Idzwan merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Ijazah Sarjana Muda dalam Sistem Maklumat dan Ijazah Sarjana dalam Sains Komputer/Teknologi Maklumat dari Universiti Salford, United Kingdom.
"Beliau mempunyai sejarah kerjaya yang pelbagai dan berpengalaman dengan memulakan kerjaya dalam industri kewangan dengan CIMB Bank Berhad sebagai Naib Presiden Wilayah, memainkan peranan penting dalam pelbagai projek berprofil tinggi di seluruh rantau ini," menurut sumber itu.
Mohd Idzwan mempunyai sejarah kerjaya yang pelbagai dan berpengalaman dengan memulakan kerjaya dalam industri kewangan dengan CIMB Bank Berhad sebagai Naib Presiden Wilayah serta memainkan peranan penting dalam pelbagai projek berprofil tinggi di seluruh rantau ini.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pemasaran di Malaysia Building Society Bank (MBSB) dan kemudian menyertai McKinsey & Co sebagai Perunding Perniagaan dan Ketua Pembangunan Produk & Perniagaan.
Semasa tempoh di McKinsey & Co, beliau memainkan peranan penting dalam inisiatif utama, termasuk penggabungan Islam terbesar di Asia Tenggara dan projek fintech dengan Hong Leong Bank Berhad, di mana beliau kemudian menjadi Pengarah Strategi.
Mohd Idzwan ketika ini adalah Pengarah Eksekutif Bintai Kinden Corporation Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah CDMH Capital Sdn Bhd selain Pengarah di Invesco Capital Management Berhad.
Beliau juga merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di SM Track Berhad, sebuah syarikat tersenarai awam yang diketuai oleh Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, yang juga merupakan kakak kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.