MBPP sita dua ekor kuda sakit, cedera di Batu Ferringhi

Iklan
Kedua-dua ekor kuda dibawa ke Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar, Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP untuk rawatan.

GEORGE TOWN - Dua ekor kuda yang sakit dan cedera telah disita dari sebuah bangsal haram dalam operasi yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Batu Ferringhi pada Khamis.

Ketika diselamatkan, haiwan tersebut dilihat dalam ketakutan, lemah selain takut untuk menaiki kenderaan pengangkut.

Iklan
Iklan

Pengarah Penguatkuasaan MBPP, Noorazrein Noorazlan Ong berkata, kedua-dua ekor kuda itu akan dibawa ke Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar, Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP untuk rawatan.

"Operasi ini dijalankan untuk menghentikan aktiviti menunggang kuda di Batu Ferringhi. Kami menerima aduan mengenai kuda-kuda yang disimpan di kawasan ini.

Iklan

"Kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa aktiviti menunggang kuda di sepanjang Batu Ferringhi akan diharamkan mulai 1 September. Operasi ini adalah susulan kepada pengumuman tersebut.

"Pihak kami berjaya mengenal pasti bangsal haram yang dibina di sini lalu menjalankan operasi untuk menyelamatkan haiwan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas operasi di Batu Ferringhi di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau menambah, berdasarkan keterangan pemilik kuda berkenaan, mereka menyewa tanah di kawasan itu daripada seseorang dan membina bangsal untuk menyimpan kuda-kuda tersebut.

"Bagaimanapun, bangsal tersebut tidak sah kerana tiada sistem saliran yang betul selain sisa buangan mengalir ke sungai berdekatan.

"Notis telah diberikan kepada mereka pada 19 Julai lalu untuk berpindah tetapi mereka gagal mematuhinya," katanya.

Noorazrein berkata, melalui notis tersebut, pihaknya memberi tempoh yang mencukupi untuk pengusaha memindahkan bangsal dan kuda-kuda tersebut.

"Disebabkan mereka masih belum berpindah, kami terpaksa mengambil tindakan dengan merobohkan bangsal dan mengambil kuda-kuda itu untuk dibawa ke Pusat Veterinar MBPP," jelasnya.

Noorazrein berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, haiwan berkenaan diambil dari Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

"Kuda-kuda ini telah berada di sini kira-kira setahun lalu. Kami telah menjalankan operasi pada Februari dan berjaya menyita tiga ekor kuda ketika itu. Sukar untuk menangkap mereka di pantai kerana pekerja biasanya melarikan diri dengan menunggang kuda.

"Kami dimaklumkan bahawa pemiliknya adalah penduduk tempatan namun pekerjanya kebanyakannya merupakan warga asing," jelasnya.

MBPP merobohkan bangsal yang menempatkan kuda dan menyita dua ekor kuda yang cedera dan sakit dalam operasi di Batu Ferringhi pada pagi Khamis.

Noorazrein turut memaklumkan bahawa ketika operasi tersebut, terdapat tiga ekor kuda di lokasi yang dikenal pasti, namun salah seorang pekerja berjaya melarikan seekor daripadanya.

"Kami percaya terdapat tiga hingga empat lokasi lain di Batu Ferringhi yang masih menyimpan kuda.

"Beberapa kuda mungkin disimpan di kawasan kampung. Kami telah mengeluarkan notis dan tindakan lanjut akan diambil. Operasi ini akan dijalankan secara berterusan sehingga aktiviti kuda ini dihentikan selain tiada lagi aduan daripada orang awam," katanya.

Tambahnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Kami tidak mempunyai bukti pemilikan kerana tiada dokumentasi. Oleh itu, kami tidak boleh mengeluarkan saman. Kami hanya boleh merobohkan bangsal dan menyita kuda-kuda tersebut.

"Ramai pemilik kuda di sini tidak mempunyai permit atau lesen," tambahnya.

Mengulas mengenai keadaan bangsal tersebut, Pegawai Veterinar MBPP, Dr Tan Suan Heoh berkata, bangsal itu tidak sesuai untuk dihuni haiwan berkenaan.

"Bangsal ini tidak sesuai kerana lantainya tidak rata dan ruangnya terhad, menyukarkan pergerakan kuda.

"Tempat makan juga sangat terhad selain bumbung yang rosak menyebabkan kuda-kuda terdedah kepada panas," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang memutuskan melarang sebarang perkhidmatan aktiviti berkuda ditawarkan di sepanjang pesisir pantai Batu Ferringhi bermula 1 September.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jason Hing Mooi Lye berkata, keputusan dibuat susulan beberapa aduan berkaitan perkhidmatan aktiviti berkuda itu terutama isu keselamatan dan kebersihan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam berkaitan soal kebersihan dan kebajikan kuda-kuda berkenaan.