125 virus dikesan, 36 jenis baharu

Iklan
Denmark pernah memusnahkan lima juta cerpelai yang diternak pada 2020 selepas strain Covid-19 bermutasi dikesan pada haiwan itu. Foto Agensi

PARIS - Lebih 100 virus telah dikesan bercampur dengan haiwan di sebuah ladang di China dan sebahagian daripadanya adalah strain baharu serta berpotensi merebak dalam kalangan manusia, menurut laporan AFP memetik kenyataan penyelidik pada Rabu.

Pakar virologi, Edward Holmes yang mengetuai kajian Covid-19 memberitahu industri penternakan bulu global adalah satu cara yang berisiko mencetuskan pandemik baharu.

Iklan
Iklan

"Secara peribadi, saya menyarankan penutupan operasi premis berkenaan,” ujarnya yang kini menyelidik potensi bahaya ditimbulkan virus di ladang bulu di Beijing setelah kes pertama Covid-19 pertama kali dilaporkan di negara Asia Timur itu pada akhir 2019.

Laporan itu didedahkan berdasarkan sampel bahan genetik daripada paru-paru dan usus sebanyak 461 bangkai haiwan seperti cerpelai, arnab, musang dan anjing rakun antara 2021 dan 2024.

Iklan

"Sebahagian besar daripadanya adalah dari ladang bulu dan premis penghasilan ubat-ubatan tradisional. Pasukan penyelidik itu berjaya mengesan 125 virus termasuk 36 jenis baharu,” jelas kajian diterbitkan menerusi jurnal Nature.

Menurut Holmes, virus paling membimbangkan beliau ialah Pipistrellus bat HKU5 yang pernah dikesan pada kelawar, namun ditemui pada paru-paru dua cerpelai yang diternak.

Iklan

"Ia di bawah kumpulan sama seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) yang berisiko membawa maut kepada manusia.

"Jangkitan daripada kelawar kepada cerpelai itu satu penggera buat kita. Virus itu perlu dipantau dari masa ke masa,” kata profesor di University of Sydney tersebut.

Beliau juga percaya pasar haiwan liar menjadi sumber kemunculan SARS-CoV-2, sekali gus mengesahkan teori tentang asal usul virus itu yang diterbitkan menerusi beberapa jurnal sebelum ini. - AFP

Info

> Sebanyak 39 daripada virus itu berisiko tinggi merebak ke spesies lain termasuk manusia.

> Sebahagian daripadanya seperti Hepatitis E dan Japanese encephalitis (JE) sudah pun menular kepada manusia.

> Beberapa jenis virus selesema burung juga dikesan pada tikus belanda, cerpelai dan muskrat.

> Tujuh jenis koronavirus juga dikesan, namun tiada satu pun daripadanya ada kaitan dapat dengan SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid.

> Kajian itu juga menggesa pengawasan dipertingkatkan terhadap haiwan di ladang bulu seperti cerpelai, anjing rakun dan tikus belanda yang mencatatkan virus paling berisiko tinggi.