KUALA TERENGGANU - Orang ramai termasuk pihak yang sangsi dengan pelaksanaan syariah di Terengganu dijemput menghadiri Karnival Indahnya Hidup Bersyariah yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis di Stadium Nasiruddin Shah, dekat sini.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan karnival itu bertujuan mempromosikan gaya hidup berlandaskan syariat Islam secara besar-besaran.
"Beberapa minggu lalu, kerajaan Terengganu diserang dari segenap penjuru berikutan pemerkasaan syariah.
"Terengganu juga dituduh merendahkan martabat dan mengongkong wanita susulan larangan terhadap atlet perempuan Muslim menyertai acara sukan terjun di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang diketahui umum tidak selaras dengan kehendak Islam.
"Terbaharu Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang menyokong kuat agenda pemerkasaan syariah Terengganu turut diserang menerusi media sosial. Di sebalik serangan itu, saya berasa hairan apabila usaha memartabatkan syiar Islam dipandang serong dan digambarkan sebagai ‘mundur’ oleh sesetengah pihak di media sosial.
"Namun saya beranggapan mereka masih belum memahami dan merasai sendiri kemanisan hidup bersyariat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Justeru, Muhammad Khalil berkata, pihaknya menjemput orang ramai termasuk pengkritik untuk hadir ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariah di Stadium Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 5 hingga 6 September ini bagi menyelami dengan lebih dekat keindahan syariah Islam.
Menurutnya, kempen berterusan yang diadakan itu juga merupakan salah satu proses pendidikan yang dijalankan oleh kerajaan negeri dalam memadam persepsi negatif yang ditanam kelompok berkepentingan.
"Karnival ini juga meletakkan objektif untuk menyediakan rakyat bagi agenda syariah Islam yang dilakukan secara tadarruj dan berperingkat.
"Jadi saya yang mewakili kerajaan negeri sekali lagi menjemput seluruh penduduk Terengganu, rakyat Malaysia serta pihak yang sangsi dengan Islam untuk hadir ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat.
"Rakyat Terengganu meraikan kedatangan anda (semua pihak) dengan pelbagai pengisian menarik berkait syariah Islam, Insya-ALLAH," ujarnya.