Dayus biarkan isteri berzina dengan lelaki lain, undang kemurkaan ALLAH

Iklan
SUAMI sebagai ketua keluarga sepatutnya mendidik isteri untuk sama-sama menunaikan ketaatan kepada ALLAH. -Foto: Canva

SUSULAN terbongkarnya kegiatan persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau ‘swinger’ apabila 36 individu ditahan baru-baru ini, ramai yang menyuarakan kebimbangan dengan gaya hidup sebegitu.

Apatah lagi ia dipromosikan secara dalam talian hingga mampu meraih 147,000 pelanggan.

Iklan
Iklan

Mengulas tentang isu, pendakwah Ustazah Asmak Husin menjelaskan, menurut perspektifnya, walaupun pelanggan itu tidak berniat untuk melakukan aktiviti tidak bermoral tersebut, tetapi perbuatan berkenaan memicu kepada dosa.

USTAZAH ASMAK

Iklan

"Memang kita tahu laman web itu memudahkan orang untuk berzina, apatah lagi ia melibatkan pasangan suami isteri.

"Akhir zaman ini, masyarakat kita sudah parah. Tak normal bila kita bertukar-tukar pasangan, kemudian rela melihat suami atau isteri bersama dengan orang lain,” katanya menerusi video dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Iklan

"Mengikut sifat asal lelaki, mereka ada ego tersendiri jauh daripada sikap dayus, rasa ingin mempertahankan dan tidak ingin berkongsi insan dicintai dengan orang lain.

"Tidak dapat dibayangkan dalam satu rumah, ada mak dan ayah tengah berzina, anak pun melakukan perkara sama serta semua boleh terima (situasi itu). Malah, apabila ‘termengandung’, mereka rasa biasa.

"Ketahuilah bahawa perkara itu mengundang kermurkaan ALLAH SWT dan dari sudut masyarakat pun hancur apalagi masa depan umat Islam yang jauh daripada fitrah,” ungkapnya.

Merujuk kepada artikel Bayan Linnas Siri ke-240: Masyarakat dan Hukum: Tukar pasangan suka sama suka yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tiga tahun lalu, bertukar pasangan suka sama suka merupakan perkara yang bercanggah dengan moral dan etika Islam.

"Islam menggariskan peraturan dan tatacara tertentu dalam perhubungan manusia serta menghalalkan persetubuhan lelaki dan wanita, tetapi melalui cara dibenarkan oleh syarak iaitu menerusi perkahwinan.

SEBAGAI ketua keluarga, elak bersifat dayus dengan membiarkan isterinya bersama dan berzina dengan orang lain, sebaliknya nasihatilah mereka dengan sebaiknya serta membimbing mereka ke jalan yang diredai oleh ALLAH SWT. -Gambar hiasan

Ia sebagaimana disebut menerusi firman ALLAH SWT: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah suatu yang keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32)

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan zina termasuk dalam kategori dosa besar menurut kesepakatan ulama.

Malah, ia berkait rapat dengan kesempurnaan dan kelemahan iman seseorang.

"Seseorang tidak akan berzina dalam keadaan sempurna imannya.

"Ingatlah, perbuatan zina bukan hanya keji mengikut pertimbangan syarak, tetapi juga dipandang buruk oleh akal yang waras mahupun adat kehidupan manusia,” jelasnya.

Justeru, pejabat mufti itu mengingatkan agar umat Islam takut kepada ALLAH dan meninggalkan perbuatan keji serta zina.

KEPADA pasangan suami isteri, sama-samalah kita membentuk keluarga yang mulia kerana ia merupakan teras penting kepada struktur masyarakat yang berakhlak dan bertamadun. -Foto: Canva

"Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya mendidik isteri untuk sama-sama menunaikan ketaatan kepada ALLAH.

"Jika sudah terlanjur melakukan maksiat, segera bertaubat kepada ALLAH kerana pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa masih dikandung badan,” titipnya.