Banduan liwat banduan, dijel 15 tahun empat sebatan

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Tindakan seorang lelaki meliwat rakan sel tahanan di Penjara Sungai Buloh enam tahun lalu, mengundang padah apabila Mahkamah Rayuan di sini, memerintahkan banduan reman terbabit menjalani hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan.

Keputusan secara sebulat suara diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan akhir bekas pekerja kilang, S Kalidas.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, banduan reman terbabit memfailkan rayuan untuk mengurangkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mensabit dan menghukumnya pada 5 Ogos 2021, kemudian disahkan Mahkamah Tinggi sama pada 25 Julai 2022.

Mengikut pertuduhan, Kalidas, 37, didakwa sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seorang lelaki, berusia 27 tahun di sebuah bilik sel di Penjara Sungai Buloh pada jam 12.30 tengah malam, 12 Oktober 2018 lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes pendakwaan, mangsa menceritakan kejadian itu kepada seorang seorang banduan lain yang kemudian memberitahu pegawai penjara yang bertugas.

Iklan

Di hadapan panel berkenaan yang bersidang pada 5 Januari lalu, Kalidas hanya merayu terhadap hukuman, disingkatkan kepada 10 tahun sahaja dengan bilangan sebatan dikurangkan.

Semasa hujahan, peguam, Ameerul Aizat Noor Haslan yang mewakili perayu berkata, Kalidas telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan terbabit.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah melampau dan bercanggah dengan trend hukuman dalam kes bagi kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail selaku responden menghujahkan, jenayah seksual adalah sangat keji namun tertuduh tidak menunjukkan kekesalan biarpun telah berada di penjara.

Menerusi keputusan penghakiman yang diperoleh pada Rabu, Azmi berkata, dalam kes liwat sebegini mahkamah seharusnya mengenakan hukuman yang berat.

Beliau berkata, perbuatan seks di luar tabii ini berlaku di dalam sel tahanan penjara yang mempunyai kawalan dan peraturan ketat.

"Anehnya, tertuduh masih sempat ‘menangguk di air yang keruh’ untuk mencuri peluang bagi memuaskan nafsu buasnya terhadap rakan sesel.

"Perbuatan tertuduh telah mencemar nama baik pihak penjara yang sentiasa bertungkus-lumus siang dan malam menjaga keselamatan serta kebajikan penghuni penjara,” kata hakim ini.

Beliau berkata, tidak wujud kepincangan, kecacatan, keterlaluan atau salah arah oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Sesyen dalam melaksanakan kuasa budibicara mereka mengenakan hukuman tersebut.

Katanya, pertimbangan yang menyeluruh, adil dan saksama telah dibuat secara teliti sebelum memutuskan sedemikian.

Menurutnya, ‘sudah terang lagi bersuluh’ tiada alasan untuk Mahkamah Rayuan mencampuri, mengusik atau mengganggu hukuman tersebut.

"Rayuan perayu ditolak, hukuman penjara selama 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh dia di tangkap (28 November 2018) dan 4 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.