ADUN lantikan perlu bebas daripada sentimen politik - Tuan Ibrahim

Iklan
Laporan Sinar Harian (kiri), Tuan Ibrahim

KUANTAN - Pembangkang di Pahang mahu lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan agar lebih bersikap profesional dan bebas daripada sentimen politik ketika mengalas jawatan mereka.

Ketua Pembangkang DUN negeri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mereka seharusnya memberi sumbangan kepada pembangunan negeri demi kepentingan rakyat secara menyeluruh tanpa dipengaruhi agenda parti politik tertentu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembangkang melihat kepada profesionalisme kerana sebahagian mereka yang dilantik mempunyai latar belakang daripada segi perundangan, teknologi dan sebagainya.

"Saya fikir mereka harus berperanan dalam kepakaran yang mereka ada untuk menyumbang kepada kerajaan dan tidak terlalu berat sebelah kepada sentimen politik kerana sudah ada wakil rakyat parti di sini.

Iklan

"Saya harap mereka lebih bersifat profesional dalam memberi cadangan ataupun mengkritik, menegur, membangkang dan mana-mana yang difikir yang tidak sesuai walaupun kerajaan melantik mereka," katanya kepada ditemui pemberita di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Sebelum ini, lima ADUN lantikan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Iklan

Istiadat mengangkat sumpah dimulakan dengan Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pembangkang perlu menerima lima ADUN lantikan itu, namun mengharapkan ada penambahbaikan termasuk mereka tiada kuasa mengundi.

Jelasnya, sebagai contoh, mereka tidak boleh mengundi dalam satu-satu polisi atau yang boleh mengubah dasar kerajaan negeri.

"Mereka hanya boleh mengundi dalam perkara-perkara biasa. Cadangan ini sudah diajukan kepada Speaker DUN tetapi sehingga kini belum ada maklum balas," katanya.