Sanusi harap agensi, jabatan seluruh Kedah contohi PKNK

Iklan
Muhammad Sanusi (empat dari kiri) bersama sebahagian wakil syarikat Kumpulan PKNK yang membayar zakat perniagaan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PKNK di Ukir Mall pada Khamis.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri berharap usaha Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan syarikat kumpulan di bawahnya melunaskan tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan dijadikan model atau ikutan agensi serta jabatan-jabatan lain di seluruh negeri Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kumpulan PKNK memainkan peranan dalam menggalakkan pembayaran zakat perniagaan dalam kalangan anak-anak syarikatnya.

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan, PKNK telah melaksanakan pembayaran zakat bermula tahun 2019 dengan jumlah RM1.5 juta.

"Saya difahamkan jumlah terkumpul kutipan zakat perniagaan syarikat Kumpulan PKNK bagi tahun 2023 lebih RM2.99 juta berbanding tahun 2022 sebanyak RM2.07 juta melibatkan 13 buah syarikat Kumpulan PKNK.

Iklan

"Peningkatan prestasi bayaran zakat pada setiap tahun berkait rapat dengan peningkatan prestasi operasi setiap anak syarikat melalui pertambahan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan PKNK di Ukir Mall di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Isahak Murat dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin ALLAH SWT telah memudahkan urusan operasi PKNK dan syarikat Kumpulan PKNK hasil membayar zakat itu.

Kongsi beliau lagi, sebanyak RM600,000 telah diagihkan kepada penerima wakalah zakat melalui polisi agihan wakalah zakat PKNK dan anak-anak syarikatnya.

"Untuk agihan tahun 2024, saya mohon kerjasama semua untuk membuat agihan mulai Oktober 2024," katanya.

Beliau berkata, PKNK juga mengadakan kempen pembayaran zakat dalam kalangan semua peniaga yang menyewa di premis milik PKNK bermula tahun ini.

"Peniaga di Ukir Mall telah diberi pelbagai kemudahan dan sokongan bagi menjalankan perniagaan di sini.

"Harapan saya perniagaan mereka yang maju kelak akan membolehkan mereka membuat bayaran zakat," katanya.

Beliau turut mengesyorkan kepada Kumpulan PKNK untuk meningkatkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing kepada tiga perkara utama ditetapkan kerajaan negeri.

"Ia meliputi sumbangan dalam bidang pendidikan melalui Tabung Tunku Mahmud, sumbangan dalam bidang latihan kemahiran iaitu Program Skills Sejahtera yang telah dimulakan pada tahun ini serta sumbangan dalam bidang kebajikan masyarakat khas pesakit terlantar," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi turut memuji usaha LZNK yang berjaya meluaskan kesedaran terhadap membayar zakat dalam kalangan umat Islam termasuklah di sektor swasta, perniagaan dan korporat.

Beliau menambah, banyak institusi kewangan, syarikat di sektor swasta serta badan-badan korporat yang memastikan zakat perniagaan dibayar terlebih dahulu sebelum mereka mengumumkan pendapatan bagi tahun kewangan mereka.