NAIROBI - Pelari maraton Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas dibakar oleh teman lelakinya di Kenya, kata persekutuan olahraga Uganda pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Kami amat sedih untuk mengumumkan pemergian atlet kami, Rebecca Cheptegei awal pagi ini yang secara tragis menjadi mangsa keganasan domestik," menurut kenyataan itu dalam hantaran di platform X.
"Sebagai sebuah persekutuan, kami mengutuk tindakan sedemikian dan menuntut keadilan. Semoga rohnya tenang."
Polis Kenya berkata, pasangannya warga Kenya menyiramnya dengan petrol dan kemudian membakarnya pada Ahad, dipercayai selepas pertengkaran.
Lelaki itu sedang disiasat kerana disyaki cubaan membunuh.
Jiran memadamkan api dan membawa kedua-dua mangsa ke hospital di bandar Eldoret, namun doktor tidak dapat menyelamatkan nyawanya.
Laporan hospital dijadual dikeluarkan pada Khamis.
Menurut klinik, Cheptegei mengalami melecur 80 peratus di anggota badannya dan juga menyedut asap, manakala pasangannya mengalami 30 peratus melecur.
Cheptegei, 33, menduduki tempat ke-44 pada maraton Olimpik bulan lepas di Paris. Pada 2021, beliau memenangi Kejohanan Larian Gunung dan Jejak Dunia buat julung kalinya. - Bernama