Kerabat diraja didakwa serang lelaki: Tengku Hassanal gesa siasatan tegas, adil

Iklan
Tangkap layar hantaran yang dimuat naik dalam Instagram Story Tengku Mahkota Pahang pada Khamis. (Kanan: Tengku Hassanal)

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu pihak polis segera menyiasat dakwaan kerabat diraja Pahang bersama sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di sebuah kandang kuda di Kuantan di sini dalam kejadian pada Jun.

Baginda bertitah demikian menerusi hantaran di Instagram Story Tengku Mahkota Pahang yang dimuat naik pada Khamis.

Iklan
Iklan

Tengku Hassanal bertitah, tindakan tegas dan penyiasatan yang adil perlu dilakukan.

"Saya mahu pihak polis menyiasat kes ini dengan segera, telus, adil dan tegas tanpa kompromi mana-mana pihak.

Iklan

"Tiada siapa pun mengatasi undang-undang termasuk kerabat,” titah baginda.

Baginda bertegas tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Iklan

"Saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang," titah baginda lagi.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki mendakwa telah dipukul, ditikam dan ditembak sekumpulan lelaki termasuk seorang anak kerabat diraja Pahang di sebuah kandang kuda, di sini pada 6 Jun lalu.

Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata.

Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.

Pada Khamis, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman dilaporkan berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, sebelum ini, beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Selain beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya.